
Katanya, beliau terbuka jika isu membabitkan dokumen itu dibahaskan pada masa depan untuk meneliti sama ada wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya.
“Semasa kertas putih ini dibentangkan, mereka yang terlibat dalam penyediaan kertas putih ini turut hadir, termasuk bekas panglima tentera. Mereka bukan saja hadir, tetapi turut terlibat merangka kertas putih ini.
“Saya senang hati jika ada yang menegur kementerian ini, tetapi janganlah hina kertas putih ini kerana ia dibuat pasukan sebegitu rupa.
“Mereka yang terlibat bukannya daripada parti politik, sebaliknya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya ketika menggulung perbahasan KPP di Dewan Rakyat hari ini.
“Begitu juga Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga beberapa badan bukan kerajaan lain. Mereka bertungkus lumus menyediakan kertas putih ini.”
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, draf KPP mengambil masa setahun untuk disiapkan dan kali terakhir ia dikemas kini pada 2006.
“Ia sepatutnya dikemas kini 10 tahun kemudian, tetapi ia tidak dilakukan,” katanya menjawab kenyataan Hishammuddin (BN-Sembrong) yang kecewa dengan intipati KPP tidak berfokus dan tidak mempunyai kesinambungan jelas.
Mohamad berkata, setiap bait ucapannya di Dewan Rakyat sewaktu membentangkan KPP akan dibincang dan diproses dalam bentuk tindakan, manakala perinciannya akan disusun mengikut keutamaan berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan.
“KPP merupakan dokumen induk, selepas ini terdapat beberapa dokumen sokongan yang akan dikeluarkan, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan Bersama Angkatan Tentera Malaysia, Dasar Industri Pertahanan Negara dan rangka tindakan kapasiti pertahanan.
“Kementerian dan jawatankuasa ini akan membawa anjakan besar dalam pendekatan tadbir urus lebih baik dan telus, sebab itulah kertas putih ini tidak membincangkan kalau ada penyelewengan dahulu. Cumanya, akan dijanjikan lebih baik pada masa akan datang,”
Katanya, KPP boleh digunakan mana-mana pihak yang memerintah negara, tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau BN kerana ia membincangkan apakah yang akan dihadapi negara, khususnya Kementerian Pertahanan untuk 10 tahun akan datang.
Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya memerlukan sekurang-kurangnya 1% daripada keluaran dalam negara kasar atau 6.5% daripada anggaran tahunan negara seperti dinyatakan dalam KPP.
Bercakap di lobi Parlimen, beliau berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mendapatkan dana bagi Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.