
Beliau berkata, Umno Sabah sudah memutuskan untuk mempertahankan kerusi tersebut sebelum kes Anifah didengar di Mahkamah Persekutuan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, 2 atau 3 calon sudah disenarai pendek untuk bertanding di kerusi tersebut.
“Kami mengenal pasti salah seorang daripada mereka untuk menggalas tanggungjawab memenangkan BN pada PRK nanti,” katanya kepada FMT.
“Kami akan mengumumkan nama itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bila pilihan raya kecil akan diadakan.
“Kami yakin dapat membawa sentimen dan semangat kemenangan di Tanjung Piai ke Kimanis, dan mempertahankan kerusi tradisi Umno itu,” katanya.
Pakatan Harapan tewas di PRK Tanjung Piai pada 16 Nov lalu kepada BN dengan perbezaan 15,000 undi. Ia adalah kekalahan ke-4 daripada 9 PRK yang diadakan sejak PH memenangi PRU14 tahun lalu.
Anifah yang keluar daripada Umno pada September tahun lalu, memenangi kerusi Kimanis pada PRU14 dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau yang bertanding atas tiket BN mendapat 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim Bujang yang meraih 11,786 undi.
Bung berkata, kerajaan gabungan PH, Warisan dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di Sabah tidak menunjukkan prestasi dijangkakan sejak menang PRU pada 9 Mei tahun lalu.
“Sentimen sangat kuat kerana mereka gagal menjadi kerajaan baik yang menjaga ekonomi atau membangunkan kawasan luar bandar.
“Sebab itulah saya agak yakin Umno/BN dapat mempertahankan kerusi Kimanis.”
Katanya, Umno Sabah memulakan kerja sejak awal sebelum kes mahkamah itu dengan mengadakan acara parti di peringkat akar umbi secara konsisten.
“Jentera pilihan raya kami di 19 pusat daerah mengundi sudah digerakkan dan sayap parti kami sudah turun padang secara aktif.”
Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee berkata, parti itu akan membuat keputusan untuk PRK Kimanis pada Khamis ini.
“SAPP akan membincangkan perkara berkaitan PRK pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.”