
Ia berikutan pembukaan 17 lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 5 daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah di 66 lokasi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A Rahman berkata Besut yang merupakan daerah paling teruk terjejas terus merekod peningkatan jumlah mangsa kepada 1,312 orang (345 keluarga) di 31 PPS berbanding 1,169 orang (309 keluarga) di 30 PPS sebelum ini.
“Selain itu, terdapat 7 PPS baharu yang dibuka di daerah Setiu menjadikan jumlah mangsa ketika ini meningkat kepada 296 orang (94 keluarga) di 15 PPS berbanding hanya 88 mangsa (32 keluarga) di 8 PPS petang tadi.
“Di Hulu Terengganu pula, 12 PPS baru dibuka yang menempatkan 296 mangsa (94 keluarga) berbanding hanya 72 orang (18 keluarga) di 3 PPS sebelum ini. Sebanyak 15 PPS beroperasi di daerah itu ketika ini dan dijangka lebih banyak pemindahan berlaku berikutan hujan lebat masih berterusan di daerah itu sehingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata jumlah PPS yang beroperasi di Dungun masih kekal di 3 lokasi namun terdapat sedikit penurunan jumlah mangsa iaitu 254 orang (72 keluarga) berbanding 281 orang (78 keluarga) tengah hari tadi.
“Kuala Nerus pula daerah terbaru dilanda banjir di Terengganu lewat petang tadi iaitu 15 orang daripada 3 keluarga di 2 PPS iaitu di Surau Kampung Mak Jintan dan Sekolah Kebangsaan LKTP Belara,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan 7 sungai di 4 daerah melepasi paras bahaya setakat ini.
Tiga sungai itu terletak di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok setinggi 10.06m melepasi paras bahaya 8.40m, Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 22.85m (bahaya 21m) dan Sungai Setiu di Kampung Besut pula setinggi 18.10m (bahaya 17.5m).
Dua sungai di Hulu Terengganu turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 26.07m (bahaya 24.5m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping yang mencatat bacaan 20.7m (bahaya 19.7m).
Selain itu, Sungai Besut di Kampung La pula merekod bacaan 24.15m (bahaya 21.8m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau yang mencatatkan bacaan 13.46m (bahaya 12.5m).
Ketika ini, kebanyakan tempat di Terengganu masih dilanda hujan lebat dan renyai di sesetengah kawasan.