
Walaupun mengakui langkah penempatan semua prosedur di bawah Kementerian Sumber Manusia boleh mengurangkan amalan rasuah, Andrian Pereira daripada North South Initiative berkata, perlu diwujudkan sebuah badan berasingan untuk memantau pematuhan prosedur yang ditetapkan.
“Ruang untuk melakukan rasuah masih ada walaupun jika semua perkara diletakkan di bawah satu kementerian,” katanya kepada FMT.
“Perlu ada satu sistem bebas. Mungkin sebuah agensi pemeriksaan bersilang bagi memastikan semua peraturan dipatuhi dengan penuh kewibawaan dan langkah penguatkuasaan dijalankan dengan tegas.”
Pada masa ini, permit pekerjaan bagi orang asing dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). KDN bertanggungjawab memberikan kelulusan.
Pereira berkata, prosedur 2 peringkat ini membuka jalan kepada banyak saluran rasuah dan salah laku.
Cadangan supaya Kementerian Sumber Manusia menyelia permohonan permit pekerjaan dan kelulusannya terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-11, tetapi Pereira mendakwa terdapat “tangan-tangan ghaib” yang mungkin menghalang Kabinet daripada membuat keputusan tegas berhubung perkara itu.
Beliau menggesa bersikap tegas bagi memastikan rancangan itu terlaksana.
Katanya, terdapat banyak pihak yang meraih keuntungan daripada “kegagalan sistemik” prosedur sedia ada.
“Masalah asasi dalam penyeludupan dan pemerdagangan migran, terutama migran tanpa dokumen, ialah mereka dikitar semula daripada seorang penyeludup kepada yang lain dan daripada satu majikan ke majikan yang berikutnya,” kata beliau.
“Imbuhan wangnya terus bertambah 2 atau 3 kali ganda.”
Beliau mendakwa agensi swasta dan sistem khas yang digunakan untuk proses pengambilan semula pekerja migran meraih keuntungan besar daripada kegagalan sistemik yang berlaku.
Katanya, sistem berkembar itu bukan sahaja menyuburkan rasuah, tetapi juga umumnya tidak berkesan dan memudahkan berlakunya perbuatan pelanggaran hak.
“Kewujudan 2 kementerian yang mengendalikannya menjadikan proses itu sangat rumit,” kata beliau.
Pereira juga menggesa kerajaan supaya bersikap tegas dalam menjamin hak asasi migran.
“Pekerja migran banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan hampir kesemua gaji mereka dibelanjakan di sini,” kata beliau.
“Memberikan mereka keadilan dengan memperbaharui sistem adalah paling minimum yang boleh kita lakukan untuk mereka.”