Putrajaya digesa beri perlindungan lebih baik kepada pembeli rumah

Putrajaya digesa beri perlindungan lebih baik kepada pembeli rumah

Terdapat banyak kes pembeli tidak dirundingi sebelum lanjutan tempoh siap projek perumahan diberikan.

Di bawah perjanjian jual beli yang dikawal selia oleh kerajaan, projek perumahan atas tanah mesti disiapkan dalam tempoh 24 bulan, dan 36 bulan bagi struktur bangunan tinggi.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengambil langkah proaktif bagi melindungi pembeli rumah daripada pemaju yang menyeleweng.

Peguam Derek Fernandez yang menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa pengawal perumahan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan lanjutan masa kepada pemaju perumahan bagi menyiapkan projek mereka, berkata, adalah malang pembeli perlu pergi ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan berhubung perkara yang begitu jelas.

Bercakap kepada FMT beliau berkata, pengawal perumahan jelas salah dalam memberikan lanjutan masa kepada pemaju sedangkan pembeli merupakan pihak yang terpaksa membayar faedah ke atas pinjaman bank mereka.

Di bawah perjanjian jual beli yang dikawal selia oleh kerajaan, projek perumahan atas tanah mesti disiapkan dalam tempoh 24 bulan, dan 36 bulan bagi struktur bangunan tinggi.

Sekiranya pemaju gagal menyiapkan projek mereka dalam tempoh yang ditetapkan, mereka perlu membayar caj lewat kepada pembeli, melainkan mereka memperoleh lanjutan masa bagi mengecualikan mereka daripada obligasi itu.

Fernandez berkata, terdapat banyak kes pembeli tidak dirundingi sebelum lanjutan masa itu diberikan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) harus berasa malu untuk menyifatkan diri mereka sebagai satu gerakan pembaharuan sekiranya ia tidak bertindak melindungi orang awam daripada amalan tidak adil syarikat besar.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengarahkan bank menangguhkan pembayaran faedah ke atas pinjaman yang diambil oleh pembeli yang terlibat dengan lanjutan masa yang diberikan kepada pemaju.

Pemaju perumahan yang berpangkalan di Melaka Adam Cho juga mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan dengan berkata, tidak jelas sama ada ia akan memberi kesan ke atas pemaju yang memperoleh lanjutan masa sebelum melancarkan projek mereka.

Beliau berkata, Akta Pemaju Perumahan, dalam menetapkan tempoh siap 24 dan 36 bulan, tidak mengambil kira kerumitan sesuatu projek.

“Mungkin akta itu perlu disemak untuk mengambil kira keperluan tempoh pembinaan yang lebih panjang,” katanya.

“Tempoh lebih panjang harus dibenarkan, katakan 5 tahun, tertakluk kepada penetapan komitmen pemaju kepada pembeli berdasarkan prinsip persetujuan penjual dengan pembeli.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.