Pemecatan 2 pemimpin Pemuda tak jejas PKR, kata Fahmi

Pemecatan 2 pemimpin Pemuda tak jejas PKR, kata Fahmi

Pengarah komunikasi PKR berkata, pemecatan 2 individu itu tidak menjadi isu kerana ia tidak membabitkan badan utama seperti bahagian PKR.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata pemecatan Pengerusi Tetap Pemuda, Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad tidak menjejaskan parti itu kerana mereka bukannya pemimpin bahagian.

“Ini satu usaha saya lihat langkah Pemuda PKR untuk memperbaiki dari segi pentadbiran apa yang berlaku.

“Kalau kita lihat pendaftaran kongres PKR dan bahagian, ada dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tetapi Pemuda PKR dan Wanita tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir mempertahankan pemecatan Mizan dan Ramly oleh Majlis Pimpinan sayap itu berdasarkan perlembagaan parti yang mewajibkan ahlinya berusia 35 tahun ke bawah.

Kelmarin, The Star melaporkan Pemuda PKR menghantar surat memaklumkan pemecatan Mizan dan Ramly kerana timbul keraguan terhadap pemilihan mereka.

Dalam surat bertarikh 27 Nov lalu menyatakan parti itu menamatkan jawatan mereka kerana usia melebihi 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka lebih banyak daripada perwakilan dalam Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lepas.

Mizan dan Ramly kemudiannya dilaporkan berkata, tidak masuk akal mempersoalkan kedudukan serta undi diperolehi mereka selepas setahun Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung dan hanya beberapa hari lagi menjelang kongres tahun ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, setakat ini beliau dimaklumkan sekretariat Wanita PKR yang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali akan merasmikan kongres sayap itu pada 5 Dis ini, manakala kongres Pemuda pada keesokannya dirasmikan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya belum menerima apa-apa maklumat sama ada Azmin akan hadir atau tidak. Ini penganjuran sekretariat bagi Kongres Wanita, setakat ini kongres PKR belum dimaklumkan.”

Katanya, setiap bahagian akan diwakili 12 perwakilan yang menjadikan keseluruhannya 2,617 perwakilan.

“Sebanyak 221 cabang dan insya Allah kita akan selesaikan mesyuarat agung bahagian ke-222, iaitu Tanjung Manis.”

Beliau berkata, Pemuda dan Wanita masing-masing akan memilih 50 perwakilan ke Kongres Nasional PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.