Keputusan hakim benarkan jaminan kes LTTE dipuji

Keputusan hakim benarkan jaminan kes LTTE dipuji

Bekas hakimGopal Sri Ram berkata keputusan hari ini akan memberi kesan kepada undang-undang lain yang melarang mahkamah memberikan jaminan.

Bekas hakim Gopal Sri Ram mengatakan Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang membatalkan keputusan hakim untuk memberi jaminan.
KUALA LUMPUR:
Parlimen yang menggubal undang-undang tidak boleh menghalang badan kehakiman, yang merupakan satu lagi cabang bebas kerajaan, daripada mendengar permohonan jaminan oleh tertuduh, kata bekas hakim Gopal Sri Ram.

“Hakim membuat keputusan yang betul dalam isu jaminan. Beliau disokong oleh penghakiman Zakaria Yatim J dalam kes Yap Peng yang disahkan oleh Mahkamah Agung,” katanya.

Sri Ram berkata keputusan hari ini akan memberi kesan kepada undang-undang lain yang melarang mahkamah daripada memberikan jaminan, seperti Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

“Bagaimanapun, sama ada jaminan perlu diberikan, bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes,” katanya kepada FMT.

Sri Ram mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini bahawa hakim boleh mempertimbangkan permohonan ikat jamin walaupun tertuduh didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan.

Nazlan berkata badan kehakiman wujud untuk memeriksa sebarang keterlanjuran oleh badan perundangan dan eksekutif.

“Doktrin pemisahan kuasa merupakan ciri khas negara demokratik moden,” katanya ketika membenarkan cabaran perlembagaan yang dikemukakan Adun Gadek, G Saminathan, yang didakwa dengan 11 yang lain menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam Saminathan, Ramkarpal Singh pada Selasa berhujah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma bercanggah dengan Perkara 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan, kerana badan perundangan dan eksekutif mengeluarkan budi bicara mahkamah untuk memberikan jaminan.

“Kuasa kehakiman teras bagi doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan kehakiman yang merupakan ciri asas dalam struktur asas perlembagaan,” kata Nazlan.

Sri Ram, yang dikenali atas penghakimannya terhadap isu-isu perlembagaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berkata keputusan Nazlan itu dipuji.

“Hakim bertindak mengikut duluan mengenai isu pemisahan kekuasaan antara badan perundangan dan eksekutif, di satu sisi, dan badan kehakiman, di sisi lain,” katanya.

Beliau berkata walaupun pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan perundangan tidak terlalu ketat, namun pemisahan antara dua badan itu dengan badan kehakiman adalah lengkap dan mutlak.

Sementara itu, peguam N Sivananthan berkata mereka yang dituduh dengan kesalahan jenayah serius dan merengkok dalam penjara pun boleh memohon ikat jamin.

“Mahkamah boleh mengenakan syarat dalam memberikan jaminan,” katanya, sambil menambah dalam kes jenayah, semua pesalah yang didakwa dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah oleh mahkamah.

Sivananthan berkata tahanan reman tidak boleh menyaman kerajaan untuk penahanan salah sekiranya mahkamah rayuan mendapati mereka tidak bersalah atas tuduhan jenayah mereka.

“Dalam beberapa kes, keluarga mengalami kesukaran apabila pencari nafkah berada dalam penjara untuk tempoh yang lama,” katanya, sambil menambah keputusan hari ini juga baik untuk sistem keadilan jenayah secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.