
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, sebagai sayap independen sesebuah kerajaan, badan kehakiman wujud bagi menyekat keterlanjuran badan perundangan dan eksekutif.
“Prinsip pemisahan kuasa merupakan teras utama sebuah negara moden,” katanya ketika membenarkan cabaran perlembagaan yang difailkan oleh exco negeri Melaka G Saminathan, yang didakwa bersama-sama 11 yang lain kerana menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau juga berkata, Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma adalah bercanggah dengan Perkara 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.
“Seksyen 13 bercanggah dengan perlembagaan kerana ia melucutkan daripada mahkamah kuasa budi bicara kehakiman untuk menilai sama ada hendak membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin,” kata Nazlan dalam penghakiman luas beliau kepada mahkamah yang penuh sesak.
“Susulan itu, jawapan saya kepada soalan pertama sama ada Seksyen 13 Sosma bercanggah dengan Perkara 121 (1) perlembagaan ialah ‘ya’.”
Nazlan juga berkata, Seksyen 13 tidak membenarkan ikat jamin diberikan kepada orang yang didakwa di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan atas kesalahan berkait keganasan.
Saminathan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130J kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dan Seksyen 130JB kerana memiliki item yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Sosma digubal oleh Parlimen selaras dengan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu membenarkan penggubalan mana-mana akta Parlimen yang bertujuan menyekat ancaman apa-apa tindakan, yang antara lain, memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan persekutuan.
Ia juga menyebut undang-undang sedemikian adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perkara 5, 9, 10 dan 13 hak-hak asasi.
Nazlan berkata, dalam kes Semenyih Jaya, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa di bawah Perkara 121 (1) kuasa kehakiman mahkamah hanya terletak pada badan kehakiman.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi adalah tertakluk kepada penghakiman itu.
“Kuasa membuat penghakiman ke atas perkara sivil dan jenayah yang dibawa ke mahkamah adalah hak eksklusif mahkamah itu.
“Kuasa kehakiman adalah teras bagi doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan kehakiman yang merupakan ciri teras dalam struktur asas perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes terbaru Alma Nudo Atenza lwn pendakwa raya, mahkamah tertinggi memutuskan bahawa pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman adalah ciri utama sebuah negara demokrasi moden.
“Pelanggaran kuasa kehakiman oleh mana-mana sayap kerajaan adalah berlawanan dengan doktrin pemisahan kuasa, mencabul struktur asas perlembagaan dan oleh itu bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.
Katanya, kuasa kehakiman meliputi kuasa untuk memberi atau menolak ikat jamin orang yang didakwa.
“Ia juga selaras dengan anggapan tidak bersalah dan tujuan ikat jamin itu sendiri, iaitu menjamin kehadiran orang yang didakwa ke mahkamah,” katanya, dengan menambah bahawa Seksyen 13 tidak boleh mengenakan sekatan ke atas mahkamah.
Nazlan berkata, mahkamah yang mendengar permohonan ikat jamin berhak membuat keputusan berhubung fakta dan hal keadaan kes, sesuai dengan kuasa budi bicaranya.
Saminathan; pemandu teksi V Balamurugan; penghantar surat S Teeran dan peniaga besi buruk A Kalaimughilan didakwa secara sedar menyokong kumpulan LTTE di Facebook.
Pada 1 Nov, hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membenarkan permohonan Saminanthan untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi sama ada mereka boleh diberikan ikat jamin walaupun didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.
Lapan lelaki lain didakwa dengan kesalahan sama di hadapan dua hakim Mahkamah Sesyen berasingan, dengan peguam mereka membangkitkan isu sama, iaitu percanggahan Seksyen 13 dengan perlembagaan.
Sangeet Kaur Deo yang mewakili Saminathan memberitahu pemberita bahawa beliau akan membuat permohonan meminta Rozina mendengar permohonan ikat jamin itu secepat mungkin.