Saya masih ahli PKR selagi tak terima surat pecat, kata Zakaria

Saya masih ahli PKR selagi tak terima surat pecat, kata Zakaria

Zakaria Abdul Hamid menuntut MPP memohon maaf untuk membersihkan namanya daripada tuduhan rasuah.

Zakaria Abdul Hamid (memakai kalung bunga) yang menamatkan lawatan kerja ke Taiwan, disambut kira-kira 100 ahli PKR Pahang di KLIA hari ini.
SEPANG:
Bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid bertegas beliau masih ahli parti itu selagi tidak menerima surat pemecatan daripada PKR Pusat.

“Hanya selepas mendapat surat tersebut, mengkaji kandungannya, saya akan putuskan tindakan seterusnya,” katanya setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada lawatan kerja ke Taipei, Taiwan.

Bekas ketua PKR Bahagian Bera itu disambut lebih 100 ahli PKR Pahang yang berkumpul seawal 7 malam tadi.

Pada 24 Nov lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi kerana terbabit dalam rasuah pada pemilihan parti tahun lalu.

Katanya, PKR menerima surat dan bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 23 Okt lalu yang mengesyorkan parti itu mengambil tindakan tatatertib ke atas 2 ahli itu.

Zakaria Abdul Hamid (kopiah hitam) mendesak PKR menarik balik keputusan memecatnya dan memohon maaf secara terbuka kepadanya.

Bagaimanapun, Zakaria dilaporkan berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang laporan yang dibuat kepada Lembaga Disiplin terhadapnya dan mendakwa parti bertindak tanpa mendengar penjelasannya.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, ketua cawangan laporan agensi anti-rasuah itu terkhilaf mencadangkan tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan Ismail.

Katanya, SPRM hanya perlu menghantar laporan salah laku kepada agensi kerajaan atau kementerian, bukannya parti politik.

Hari ini, Zakaria mendesak PKR menarik balik keputusan memecatnya kerana mendakwa SPRM menyatakan kes terhadapnya sudah selesai dan tiada pendakwaan.

“Saya juga menuntut MPP memohon maaf secara terbuka bagi membersihkan nama saya yang dituduh mengamalkan rasuah.”

Katanya, sejak dikaitkan dengan salah laku itu, beliau cuba menemui Presiden PKR, Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara berkenaan, tetapi gagal.

Awal minggu ini, 2 Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin mengkritik keputusan parti memecat 2 ahli itu.

Tian Chua meminta Lembaga Disiplin PKR menarik balik keputusan pemecatan yang disifatkannya tidak adil dan dibuat secara tergesa-gesa tanpa melalui siasatan terperinci, manakala Zuraida pula menyifatkan ia sebagai tindakan pilih bulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.