Rombak Kabinet tak jamin keadaan lebih baik, kata Dr M

Rombak Kabinet tak jamin keadaan lebih baik, kata Dr M

Perdana menteri berkata, perkara lebih buruk boleh berlaku jika tersilap langkah dalam merombak Kabinet.

Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata, rombakan Kabinet tidak memberi jaminan ia akan memberi kesan dan impak baik kepada negara, sebaliknya jika tersilap langkah, keadaan lebih buruk boleh berlaku.

Katanya, berdasarkan pengalamannya sewaktu melepaskan jawatan perdana menteri sebelum ini. beliau akan lebih berhati-hati jika mahu merombak Kabinetnya.

“Masing-masing mahukan rombakan Kabinet. Apabila saya letak jawatan, beri kepada orang lain dan tukar menteri tidak bermakna akan menjadi lebih baik, ia boleh menjadi lebih buruk. Jadi, saya perlu fikir secara berhati-hati.

“Saya pilih orang selalunya gagal, orang buat tidak kena sebab itu saya berhati-hati hendak buat rombakan. Kita boleh buang, angkat anggota Kabinet lain, tetapi adakah ia boleh jamin akan menjadi lebih baik,” katanya dalam sidang media di Korea Selatan hari ini.

Pada 20 Nov lalu, Mahathir dilaporkan tidak menolak kemungkinan merombak Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Hari ini, Mahathir berkata, menteri sedia ada dalam Kabinetnya masih baru dan belum mempunyai pengalaman mengurus serta mentadbir negara.

“Semuanya orang baru, parti pembangkang tidak pernah jadi kerajaan. Apabila jadi kerajaan, dia hendak bawa diri susah sikit dan tidak berapa hendak faham. Bagilah peluang, jika betul-betul tidak berguna, barulah kita singkirkan.

“Tetapi, sekarang ini nampaknya berguna, mereka laporkan kepada saya. Saya tahu apa yang mereka buat. Buat masa ini, ya (berpuas hati dengan pencapaian anggota Kabinetnya). Saya sudah biasa tukar dulu, dapat orang lain jadi lebih buruk, bukannya jadi lebih baik.”

Sementara itu, Mahathir menasihatkan menteri dan timbalan menteri tidak menimbulkan masalah dengan ketua setiausaha (KSU) di kementerian masing-masing bagi melancarkan pentadbiran kerajaan.

“Benda ini boleh disesuaikan. PH dulu pembangkang dan kerajaan dulu ajar supaya rakyat benci pembangkang, tetapi sekarang ini orang yang dibenci itu tiba-tiba jadi kerajaan, jadi nak kena perbetulkan sikit.

“Saya suruh mereka janganlah bermasalah dengan KSU, tetapi sesetengah itu ada sebabnya. Kita cuba kurangkanlah, hendak buang sampai 8 orang susahlah.”

Mahathir mengakui konflik yang berlaku di kementerian tertentu mungkin berkait rapat dengan pentadbiran terdahulu.

“Kadang-kadang itu ada juga berlaku pegawai lama ini, sudah tabiat dia sokong BN. Susahlah sikit, konflik memang ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.