Putrajaya tidak pinjam wang untuk bayar gaji penjawat awam, Guan Eng tolak dakwaan Umno

Putrajaya tidak pinjam wang untuk bayar gaji penjawat awam, Guan Eng tolak dakwaan Umno

Menteri kewangan berkata, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan sepatutnya mengalihkan kritikannya kepada kerajaan Kelantan, bukannya kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan bahawa Putrajaya terpaksa meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

Lim berkata, Putrajaya mempunyai sumber mencukupi untuk membayar gaji penjawat awam dan tidak pernah membuat sebarang pinjaman seperti dilakukan kerajaan Kelantan pada Oktober lalu untuk membayar gaji anggota pentadbiran negeri itu.

“Ia terbukti apabila penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A- dengan unjuran stabil. Sekiranya kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.

“Saya ingin tegaskan di sini, kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata demikian bagi menafikan kenyataan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu pada Isnin lalu yang mendakwa, kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

Menurut Lim, segala pinjaman Putrajaya adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan sedang menepati sasaran merendahkan defisit fiskalnya daripada 3.7% berbanding KDNK pada tahun 2018, kepada 3.4% untuk tahun ini. Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman,” katanya.

Jelas Lim, Mohamad sewajarnya menyasarkan kritikannya kepada kerajaan negeri Kelantan, bukannya Putrajaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana situasi dialami Kelantan dan Putrajaya adalah amat berbeza.

“Kementerian kewangan pada 14 Okt lalu meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan negeri Kelantan berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan negeri tersebut.

“Ini termasuk untuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung tahun 2019. Pada tahun 2018, kerajaan Persekutuan juga mendahulukan wang sejumlah RM91.5 juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan sama.

“Jelas sekali bahawa kritikan Mohamad Hassan sudah jauh tersasar dan sepatutnya dialihkan ke arah kerajaan negeri Kelantan dan bukannya kerajaan Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.