Polis kenal pasti 2 individu bawa pulang abu mayat Chin Peng

Polis kenal pasti 2 individu bawa pulang abu mayat Chin Peng

Ketua polis negara berkata, 2 individu itu dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi beliau tidak memberitahu sama ada mereka sudah hadir atau belum.

Kumpulan yang terbabit dalam urusan membawa balik abu mayat Chin Peng bergambar bersama selepas menabur abu mayat bekas pemimpin PKM itu di Perak. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Polis mengenal pasti 2 individu terbabit dalam urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua individu itu dipanggil untuk memberi keterangan, namun beliau tidak mendedahkan sama ada mereka sudah hadir atau belum.

“Apabila kita mendapat jawapan kepada semua ini, peguam negara akan memutuskan sama ada terdapat sebarang kesalahan.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bersabar dan menggunakan kewarasan dalam isu ini. Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke Malaysia dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak serta di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.