PAC gesa audit RM20 juta dilabur dalam firma kereta terbang

PAC gesa audit RM20 juta dilabur dalam firma kereta terbang

PAC berkata, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might) meluluskan RM20 juta disalurkan kepada Aerodyne Ventures Sdn Bhd pada 1 Nov lalu.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Putrajaya melabur RM20 juta dalam sebuah syarikat swasta membangunkan projek kereta terbang, walaupun Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof mengumumkan projek itu tidak menggunakan sebarang dana kerajaan.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu hari ini mengemukakan 6 syor, termasuk menggesa Jabatan Audit Negara mengaudit RM20 juta yang disalurkan kepada Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB) pada 1 Nov lalu.

Katanya, dana itu disalurkan kepada AVSB melalui syarikat dikenali sebagai Venture Tech Sdn Bhd (VTSB), anak syarikat Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“VTSB perlu membuat pemantauan lebih teliti terhadap perbelanjaan yang dibuat AVSB. Ini bagi memastikan pelaburan RM20 juta oleh VTSB sebenarnya digunakan untuk tujuan ditetapkan dalam kelulusan pelaburan,” katanya dalam laporan itu.

PAC berkata, kajian dan perancangan teliti perlu dilakukan sebelum sesuatu projek dihebahkan kepada rakyat bagi mengelakkan ia persepsi negatif serta dikritik orang ramai.

Katanya, kertas kerja lengkap dan sempurna perlu disediakan dan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi perkara membabitkan kepentingan rakyat serta negara.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dinasihat mewujudkan kerjasama dan koordinasi dengan lain-lain kementerian, jabatan dan agensi dalam melaksanakan sesuatu program atau projek kerajaan, terutama yang menerima publisiti luas.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dinasihatkan membuat ‘due diligence’ yang lengkap sebelum membuat apa-apa pengumuman dan keputusan.”

PAC berkata, menteri pembangunan usahawan membuat pengumuman projek kereta terbang terlalu awal tanpa perancangan teliti dan memaklumkan Kabinet.

Katanya, Redzuan mempromosikan projek inisiatif swasta itu seolah-olah ia adalah projek nasional dan negara tidak mempunyai undang-undang untuk mengawal selia penggunaan kereta terbang.

“PAC Parlimen juga mendapati Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Might tidak dirujuk langsung dalam menentukan hala tuju pembangunan kenderaan udara, khususnya projek kereta terbang di Malaysia.

“Menteri pembangunan usahawan sudah membuat promosi mengenai AVSB secara terbuka sejak Februari 2019.

“Bagaimanapun, ketika prosiding PAC Parlimen, kerajaan belum membuat ‘due diligence’ terharap AVSB sama ada berkaitan kewangan, hak milik intelek, kepakaran dan kapasiti untuk bangunkan kereta terbang.”

Katanya, Redzuan memaklumkan AVSB menggunakan teknologi tempatan, tetapi PAC mendapati prototaip itu akan dibina di Jepun yang mempunyai ekosistem dan kemudahan untuk membina kereta terbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.