Inkues 3 lelaki ditembak mati di Batu Arang bermula 13 Dis

Inkues 3 lelaki ditembak mati di Batu Arang bermula 13 Dis

Polis masih membuka kertas siasatan orang hilang susulan dakwaan kehilangan seorang wanita yang juga isteri kepada seorang lelaki yang ditembak mati dalam kejadian pada 21 Sept lalu.

G Thavaselvan ialah seorang daripada 3 lelaki yang ditembak mati polis di Batu Arang pada 21 Sept lalu.
KUALA LUMPUR:
Inkues 3 lelaki ditembak mati polis di Batu Arang, Rawang pada 21 Sept lalu akan bermula 13 Dis ini di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, semua pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu akan dipanggil memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Katanya, polis masih membuka kertas siasatan orang hilang susulan dakwaan kehilangan seorang wanita yang juga isteri kepada seorang daripada lelaki yang ditembak mati dalam kejadian itu.

“Kami memerlukan maklumat daripada orang ramai jika ada berita baru untuk membolehkan polis mencari mangsa yang dikatakan hilang (dan) masa ini kami masih buka kertas siasatan (wanita) itu sebagai orang hilang,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes perjudian di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Seorang daripada 3 lelaki dalam kes tembakan di Batu Arang, V Janarthanan dari Sri Lanka bersama isterinya, Moganambal Govindasamy yang dilaporkan hilang dan belum ditemui sehingga kini.

Tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di KM22, Jalan Rawang, menghala Batu Arang, dekat sini 2 bulan lalu.

Polis turut mengesahkan 2 individu yang ditembak mati itu ialah anggota kumpulan kongsi gelap 08, manakala hasil semakan menunjukkan seorang lagi mempunyai rekod pemutihan Jabatan Imigresen pada 2013.

Polis menafikan seorang wanita yang juga isteri kepada seorang daripada suspek itu, berada dalam kereta dinaiki penjenayah terbabit ketika kejadian.

Wanita terbabit, Moganambal Govindasamy, 35, dilapor hilang selepas kejadian itu dan belum ditemui sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.