
“Berdasarkan QS University Ranking Asia 2020 yang dikeluarkan hari ini, kedudukan UM buat pertama kalinya dalam sejarah kita di tangga pertama di Malaysia dan ke-13 di Asia berbanding di tangga ke-24 pada 2018.
“Peningkatan ketara berlaku bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM), iaitu pada kedudukan 158 pada 2018, kita berjaya meningkat kepada 119 pada 2020. Begitu juga bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menduduki tangga ke-290 pada 2018, meningkat ke tangga 134 pada 2020.
“Ini semua hasil usaha pembaharuan holistik yang dilakukan sejak 2018,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Aaron Ago Dagang (GPS-Kanowit) mengenai ranking universiti Malaysia di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan ranking dikeluarkan QS hari ini, UM berada di kedudukan ke-19 tahun lalu, sebelum melonjak tangga ke-13 tahun depan.
Maszlee berkata, UM kini berada di kedudukan ke-70 terbaik dunia, naik 17 anak tangga berbanding tahun lalu berdasarkan ranking dikeluarkan QS.
“Empat lagi universiti awam juga berjaya menunjukkan peningkatan membanggakan dan berjaya menempatkan diri dalam 100 universiti terbaik dunia berbanding 2018.
“Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-159, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-160, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-165 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-217.”
Sementara itu, Maszlee menolak dakwaan hanya 6 universiti awam di Malaysia yang disenaraikan dalam QS World University Rankings.
“Antara universiti yang disenaraikan dalam QS World University Rankings ialah UUM (Universiti Utara Malaysia) yang berada di kedudukan ke-591, UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di tempat ke-651, UiTM ke-651, Unimap (Universiti Malaysia Perlis) ke-701, UMP ke-751, Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) ke-801 dan UMS (Universiti Malaysia Sabah) juga berada pada kedudukan ke-801.”