Presiden, setiausaha agung tiada kuasa ubah keputusan pecat 2 ahli PKR, kata Saifuddin

Presiden, setiausaha agung tiada kuasa ubah keputusan pecat 2 ahli PKR, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan mengatakan Anwar Ibrahim selaku presiden mempunyai kuasa berbuat demikian bertentangan amalan dan perlembagaan parti.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekhilafan SPRM menghantar surat mencadangkan tindakan tatatertib terhadap 2 ahli PKR tidak mengubah fakta kes, kandungan atau pandangan agensi anti-rasuah itu berhubung salah laku yang berlaku dalam pemilihan parti tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Presiden dan setiausaha agung PKR tidak mempunyai kuasa mengubah pemecatan 2 ahli yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Sabtu lalu, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PKR itu berkata, kenyataan mengatakan Anwar Ibrahim selaku presiden mempunyai kuasa berbuat demikian bertentangan amalan dan perlembagaan parti.

“Dalam perlembagaan parti, ia tidak memberi kuasa mengubah atau menarik keputusan (pemecatan) yang telah dibuat itu kepada presiden atau setiausaha agung.

“Tetapi, perlembagaan parti membenarkan seseorang yang dipecat mengemukakan rayuan dalam tempoh tertentu yang kemudiannya akan diteliti panel rayuan parti untuk tindakan lanjut,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim hanya presiden dan setiausaha agung boleh membuat keputusan sama ada pemecatan Ahli MPP, Zakaria Abdul Hamid dan Ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi perlu ditarik balik atau dikekalkan.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu semalam.

Beliau berkata, isu menarik balik pemecatan itu tidak timbul biarpun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui terkhilaf menghantar surat mencadangkan tindakan tatatertib ke atas 2 individu tersebut kerana melanggar kod etika parti.

Saifuddin berkata, “kekhilafan prosedur” itu tidak mengubah fakta kes, kandungan atau pandangan SPRM berhubung salah laku dalam surat itu.

“Kita jangan terkalih dari fakta ini kerana yang paling penting adalah perakuan dan pandangan SPRM setelah melakukan siasatan berbulan-bulan bahawa berlaku salah laku melibatkan individu berkenaan yang perlu diambil tindakan.”

Katanya, sehingga kini, keputusan pemecatan itu kekal dan pihaknya dalam proses menghantar surat pemakluman kepada individu terlibat.

Sementara itu, Saifuddin berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat daripada Pengerusi PKR Melaka dan Pejabat Ketua Menteri Melaka berhubung tindakan 2 Adunnya keluar dewan sebelum pengundian usul pelantikan Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik sebagai ahli Dewan Negara kelmarin.

Tindakan itu menyebabkan usul yang dibawa Ketua Menteri, Adly Zahari pada sidang Dewan Undangan Negeri ditolak, selepas 13 Adun menolak, 12 Adun menyokong dan 3 Adun berkecuali, di mana 2 daripadanya datang dari PKR.

beliau berkata, setelah semua maklumat dikumpul, beliau akan membentangkan perkara itu kepada mesyuarat Biro Politik dalam waktu terdekat bagi membincangkan tindakan lanjut.

Beliau mengakui cadangan pelantikan itu dalam pengetahuan PKR kerana menerima surat daripada Adly berhubung nama yang dicadangkan untuk dibentang dalam sidang DUN tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.