
Petronas dalam satu kenyataan semalam berkata, pendapatan lebih rendah itu disebabkan hasil rendah dan rosot nilai bersih terhadap aset yang sebahagiannya diimbangi kos produk serta pengeluaran bersih rendah dan perbelanjaan cukai lebih rendah.
Katanya, hasil dalam suku ketiga tahun ini merosot kepada RM55.11 bilion daripada RM63.91 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan purata harga direalisasi lebih rendah bagi produk utama dan penurunan besar kuantiti jualan bagi minyak mentah dan kondensat.
“Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi kesan penurunan ringgit berbanding kadar tukaran dolar AS,” kata syarikat minyak negara itu.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM18.8 bilion, sejajar keuntungan sebelum cukai rendah sebanyak RM47.13 bilion (suku ketiga 2018: RM56.31 bilion).
Bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih kumpulan itu berjumlah RM36.36 bilion, turun 11% daripada RM40.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan hasil rendah dan rosot nilai bersih yang sebahagian besarnya diambil kira dalam segmen eksplorasi serta pengeluarannya.
“Segmen itu didorong prospek harga lebih konservatif dan sebahagiannya diimbangi perbelanjaan cukai rendah,” kata syarikat itu sambil menambah EBITDA merosot 7% kepada RM73.5 bilion bagi tempoh kumulatif berakhir pada 30 Sept lalu.
Mengenai pelaburan modal, Petronas berkata, ia memperuntukkan RM28.9 bilion dari Januari hingga September lalu, manakala bagi suku ketiga 2019, pelaburan modal berjumlah RM12 bilion, kebanyakannya disumbangkan projek huluan.
“Jumlah aset berkurangan kepada RM621.4 bilion pada 30 Sept 2019 berbanding RM636.3 bilion pada 31 Dis 2018.”
Mengenai prospek masa depan, Petronas menjangkakan industri itu terus mencabar disebabkan kelembapan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan isu perdagangan global berterusan, mengakibatkan permintaan terjejas.
“Ahli lembaga menjangkakan keseluruhan prestasi kumpulan akan dipengaruhi faktor-faktor ini.”
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, meskipun keadaan pasaran tidak menentu berterusan, prestasi Petronas pada suku ketiga 2019 menunjukkan daya tahan dan keupayaannya sebagai pemain tenaga bersepadu dalam mengekalkan operasi kukuh dan terjamin sepanjang tempoh tersebut.
“Kami akan terus memberi tumpuan untuk memacu kecekapan operasi dan kecemerlangan komersil dalam seluruh kumpulan bagi melaksanakan strategi serampang tiga mata kami.
“Walaupun prestasi kami akan terus dipengaruhi persekitaran mencabar, kedudukan kewangan Petronas dijangka terus kukuh.”