Pusat khidmat Akmal Nasir disimbah cat, dicampak bangkai ayam

Pusat khidmat Akmal Nasir disimbah cat, dicampak bangkai ayam

Ahli Parlimen Johor Bahru dan ketua Pemuda PKR itu tidak menjelaskan kandungan mesej didakwa berbentuk ugutan yang ditujukan kepadanya.

Keadaan di luar pusat khidmat Akmal Nasir di Johor Bahru yang disimbah cat merah dan bangkai seekor ayam diletakkan di koridor.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mendakwa menerima ugutan hari ini dengan pusat khidmatnya di Taman Larkin Idaman, Johor Bahru, disimbah cat merah dan diletakkan bangkai seekor ayam.

Ketua Pemuda PKR itu bagaimanapun tidak menjelaskan kandungan mesej dikatakan berbentuk ugutan yang ditujukan kepadanya.

“Saya dimaklumkan staf saya yang tiba 7.20 pagi untuk masuk ke pejabat bahawa pintu masuk Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disimbah cat dan seekor bangkai ayam beserta mesej ugutan kepada saya dicampak di depan pintu.

“Satu laporan polis telahpun dibuat oleh staf saya. Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Akmal terbabit dalam kontroversi perasmi Kongres Nasional Pemuda PKR yang mahu beliau mengekalkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi, bukannya Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tindakan Akmal itu dibantah 21 daripada 25 kepimpinan pusat Pemuda PKR yang menang dalam pemilihan parti tahun lalu, termasuk Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.