Mekanisme wakaf, zakat dapat wujud rumah mampu milik, kata timbalan menteri

Mekanisme wakaf, zakat dapat wujud rumah mampu milik, kata timbalan menteri

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti bagaimana wang zakat dapat digunakan sebagai deposit dan wang pendahuluan.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamza.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata kerajaan sedang meneliti pelbagai sudut dalam kewangan Islam termasuk wakaf dan zakat bagi membangunkan perumahan dengan harga lebih berpatutan, khususnya untuk golongan miskin.

Beliau berkata sebuah negeri di wilayah utara sedang mengendalikan skim perumahan wakaf untuk penduduk berkelayakan.

“Kita mempunyai satu model yang terbukti berjaya dan sedang meneliti bagaimana wang zakat itu dapat digunakan sebagai deposit dan (bayaran) wang pendahuluan.

“Diharapkan menerusi cara ini, mereka akan mendapat rumah dengan harga lebih berpatutan dan mampu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar Persidangan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan Islam Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

Sementara itu, presiden merangkap ketua pegawai eksekutif INCEIF Azmi Omar berkata masih terdapat banyak tanah wakaf yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan perumahan mampu milik.

“Jika mekanisme ini dapat dilaksanakan, kos bagi membangunkan perumahan tersebut dapat dikurangkan kerana melibatkan tanah wakaf.

“Bagaimanapun, perumahan itu akan diletakkan dalam tempoh sewaan lebih panjang yang dibenarkan di bawah wakaf,” katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata rangka kerja perbankan digital yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dijangka dapat melonjakkan negara dalam landskap perbankan digital.

“Sebagai peneraju dalam perbankan Islam, Malaysia perlu mengikuti inisiatif yang dilaksanakan seiring dengan pendigitalan sektor perbankan Islam bagi manfaat masyarakat,” katanya.

Selain itu, mengulas isu kontrak pembekalan fleet perkhidmatan kenderaan kerajaan, beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Laporan sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh syarikat dijangka mengemukakan bidaan bagi kontrak lumayan itu berikutan kontrak pengendali sedia ada, Spanco Sdn Bhd akan tamat pada akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.