Ketua cawangan khilaf dalam surat pada PKR, kata SPRM

Ketua cawangan khilaf dalam surat pada PKR, kata SPRM

Bukan menjadi polisi SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salahlaku anggotanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki.
PETALING JAYA:
Ketua Cawangan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khilaf menerusi surat kepada PKR yang mencadangkan tindakan tatatertib terhadap 2 ahli parti itu, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki.

Mengikut garis panduan tatatertib SPRM, katanya, laporan sesuatu salahlaku hanyalah dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.

“Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini, menjawab pertanyaan media adakah SPRM boleh mencadangkan parti politik mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli yang dikatakan melakukan salahlaku.

“Bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salahlaku anggotanya.”

SPRM akan menghantar surat pemaklumkan kepada pengerusi lembaga tatatertib PKR bagi menjelaskan kekhilafan itu agar tidak timbul salah faham pada masa akan datang, kata Azam.

Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli dipecat keahlian selepas mesyuarat pimpinan semalam, yang membincangkan maklumat penuh SPRM berkaitan siasatan terhadap mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.