
Perkara tersebut disahkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim dalam satu sidang media selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat parti itu di sini, petang tadi.
Beliau berkata, pemecatan itu berkuat kuasa mulai hari ini.
Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas SPRM memperakui terdapat unsur salah laku dan rasuah di pihak Zakaria sewaktu pemilihan parti tahun lepas.

“MPP buat keputusan untuk pecat keanggotaan ahli MPP selepas disyor oleh Lembaga Disiplin terhadap Zakaria Hamid yang juga merupakan ketua Cabang PKR Bera,” katanya.
Kata Ahmad, Lembaga Disiplin menerima surat daripada SPRM yang bertarikh 23 Oktober awal bulan lalu.
Sementara itu, pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, SPRM mengesahkan kegiatan tersebut dan meminta parti mempertimbangkan perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kita tidak akan perincikan beberapa perkara kerana ini adalah isu yang sulit.
“Memadai mengatakan bahawa waktu itu Zakaria adalah seorang setiausaha politik di Kementerian Kerja Raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang sama.
Dalam perkembangan sama, PKR turut memecat seorang ahli PKR dari Pahang, Ismail Dulhadi yang dikatakan terlibat dalam salah laku yang sama dengan Zakaria.
Bagaimanapun kata Fahmi, kedua-dua mereka belum dimaklumkan mengenai perkara itu.