‘Banner’ gambar Anwar diturun, Otai Reformis tak puas hati

‘Banner’ gambar Anwar diturun, Otai Reformis tak puas hati

Lima gegantung promosi Konvensyen Reformasi 2019 yang dipasang di lima kawasan sekitar Shah Alam diturunkan.

Gegantung Konvensyen Reformis 2019 yang memaparkan gambar Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dikatakan ‘diturunkan’ selepas dipasang oleh penganjur di Shah Alam, Jumaat.
SHAH ALAM:
Pengarah Konvensyen Reformis 2019 mendakwa kain rentang mempromosi program tersebut yang terdapat gambar Presiden PKR, Anwar Ibrahim diturunkan selepas beberapa jam ia dipasang di sekitar Shah Alam, Selangor.

Zam Hamzah berkata, walaupun penganjur tidak meminta kebenaran pemasangannya daripada pihak berkuasa tempatan, namun pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.

“Terima kasih kepada seluruh jawatankuasa Otai, senior memasang ‘banner’ di kawasan Shah Alam, Selangor. Tapi malam kita pasang ‘banner’ (Jumaat), pagi esoknya hilang.

“Inilah kerajaan PH, gambar Anwar Ibrahim dipasang, tapi diturunkan. Saya tidak puas hati. Kita nak buat konvensyen, tapi diturunkan ‘banner’ itu.

Zam Hamzah.

“Memang kami tidak minta kebenaran, tapi kalau minta pun belum tentu dibenarkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di IDCC sini, hari ini.

Menyentuh soal konvensyen itu, Zam berkata, ia perlu diadakan selepas melihat ada pihak-pihak yang cuba menghalang perjuangan reformasi.

“21 tahun berlalu, hari ini kita berkonvensyen. Kenapa kita berkonvensyen? Saya ingat kita dah menang, tak perlu konvensyen, rupa-rupanya ada manusia yang mahu menghalang perjuangan kita.

“Hari ini konvensyen diadakan untuk memastikan hala tuju yang kita perjuangkan berjaya. Lawan jangan tak lawan,” katanya tanpa menjelaskan pihak yang dimaksudkan sebagai “penghalang perjuangan reformasi”.

Anwar hadir bersama penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyampaikan ucaptama konvensyen kepada lebih 500 hadirin hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.