
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini berkata, projek bernilai RM114.3 juta itu membabitkan pembinaan saluran paip menghubungkan Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai dan Stesen Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau yang dapat membekalkan sehingga 315 juta liter air terawat setiap hari, bersamaan 126 kolam renang bersaiz Olimpik.
“Apabila siap pada hujung tahun depan, projek ini akan memanfaatkan kira-kira 500,000 penduduk yang tinggal di bahagian selatan pulau,” katanya ketika berucap sebelum lawatan projek teknikal di Gat Lebuh Macallum di sini.
Beliau berkata, projek PTSP akan turut menyokong PTSP pertama, yang ditauliahkan pada 1973 dan hampir mencapai tamat tempoh selepas 46 tahun digunakan.
“Projek PTSP ketiga ini akan menyokong dasar ‘tiada catuan air’ pada masa depan,” katanya.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Jaseni Maidinsa berkata, dua fasa pertama projek itu, membabitkan pemasangan paip daratan di bahagian pulau dan tanah besar, masing-masing siap dilaksanakan pada November 2017 dan Ogos 2019.
Beliau berkata, fasa akhir projek itu akan membabitkan pemasangan 3.2km saluran paip berkembar dengan garis pusat 1.2m di dasar laut merentasi selat yang memisahkan tanah besar daripada pulau.
“Ini merupakan bahagian projek paling mencabar kerana ia membabitkan kejuruteraan dasar laut dan tepi pantai,” katanya.
Beliau berkata, kerja bagi fasa akhir merangkumi pengerukan saluran bawah laut bagi pemasangan saluran paip dasar laut, tebus guna tanah dan perlindungan pantai.
“Keseluruhannnya kemajuan bagi fasa ini adalah kira-kira 34 peratus siap dan kami berharap projek ini dapat digunakan sepenuhnya menjelang akhir 2020,” katanya.