8 lagi wakil rakyat Umno tolak dakwaan ‘lompat parti’

8 lagi wakil rakyat Umno tolak dakwaan ‘lompat parti’

Pengerusi PH Dr Mahathir sebelum ini berkata, Azmin memberitahu bahawa ahli Parlimen Umno membangkitan isu lompat parti dalam satu pertemuan awal minggu ini.

Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein dan beberapa ahli Parlimen Umno mengadakan pertemuan dengan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali awal minggu ini.
PETALING JAYA:
Lapan lagi ahli Parlimen Umno, termasuk bekas naib presiden parti itu Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan bahawa mereka beranggapan Umno kehilangan arah dan berasa tidak pasti sama ada hendak melompat parti atau sebaliknya.

Penafian hari ini dibuat sehari selepas tujuh ahli Parlimen Umno yang lain menolak dakwaan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bahawa Mohamed Azmin Ali memberitahunya ahli Parlimen Umno membangkitan perkara itu dalam satu pertemuan awal minggu ini.

Mahathir juga berkata, pemimpin Umno terbabit memberitahu Azmin, yang merupakan timbalan presiden PKR, bahawa mereka tidak pasti apakah yang yang perlu dilakukan dan bertanya sama ada mereka harus melompat ke parti lain.

Dalam kenyataan hari ini, Hishammuddin dan tujuh yang lain berkata, dakwaan itu tidak berasas, selain berkata mereka berjumpa Azmin untuk membincangkan isu berkaitan kawasan Parlimen masing-masing.

Mereka juga mengulangi pendirian sebelum ini, iaitu tidak berniat meninggalkan parti atau menyertai parti lain.

“Namun sekiranya ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ikhlas untuk sertai Umno dan BN kerana sedar rakyat bukan sahaja mula menolak mereka, tetapi semakin hilang kepercayaan terhadap visi PH dalam mentadbir negara, kami sangat alu-alukan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Hishammuddin dan Shahidan Kassim (Arau), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Hasbullah Osman (Grik), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Hamzah (Jasin), Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Mereka juga menafikan berbincang tentang isu peralihan kuasa daripada Mahathir kepada presiden PKR Anwar Ibrahim dengan menyifatkannya sebagai hal dalaman PH.

“Ia tiada kena mengena dengan kami sebagai ahli Parlimen pembangkang.”

Desas-desus sebelum ini mendakwa pertemuan Azmin dengan ahli Parlimen Umno itu berkait dengan usaha menghalang percubaan untuk memaksa Mahathir berundur.

Hisahmmuddin juga menafikan khabar angin yang tersebar sebelum ini tentang sebuah “kerajaan pintu belakang”.

Azmin berkata, pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada pertemuannya dengan komuniti perniagaan dan ahli Parlimen bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung dasar kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.