5 ahli Parlimen PPBM tiada dalam portal pengisytiharan harta SPRM

5 ahli Parlimen PPBM tiada dalam portal pengisytiharan harta SPRM

Mereka adalah Yamani Hafeez Musa, Shabudin Yahaya, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Rosol Wahid dan Zakaria Mohd Edris.

Ahli Parlimen, termasuk pembangkang diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing di Portal Pengisytiharan Harta SPRM.
PETALING JAYA:
Lima ahli Parlimen Pakatan Harapan tiada dalam senarai pengisytiharan harta wakil-wakil rakyat dan setiausaha politik di Portal Perisytiharan Harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lima individu berkenaan adalah Yamani Hafeez Musa (Sipitang), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Semua mereka wakil rakyat PPBM. FMT bagaimanapun mendapat maklum balas 2 daripada 5 wakil rakyat berkenaan.

“Saya hantar semua maklumat di pejabat speaker Dewan Rakyat. Saya hantar 24 Sept lalu,” kata Shabudin ketika dihubungi.

“Selepas itu pejabat speaker katakan pada saya selebihnya mereka akan hantar pada SPRM. Saya berikan 2 salinan.”

Beliau “pening” kenapa namanya belum tersenarai di laman itu.

“Saya sendiri sudah maklumkan perkara ini kepada ketua whip parti,” katanya, dan menambah apakah beliau sendiri perlu menyerahkan akuannya kepada SPRM.

Rosol pula sudah menyerahkan akuannya kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat pada 23 Okt lalu.

“Saya sudah hantar pada pejabat speaker Dewan Rakyat 2 salinan. Speaker kata, dia akan hantar ke SPRM,” katanya.

Pada Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Berdasarkan usul itu, semua ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Akuan berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada ketua pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja yang akan dipaparkan di portal berkenaan.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jika ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.