
Hakim Colin Lawrence Sequerah membenarkan peguam tersebut memindahkan kes berkenaan ke mahkamah lebih tinggi walaupun tarikh sebutan kes tidak ditetapkan.
Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak membantah permohonan pindahan itu.
Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Hafarizam berkata, pihak pembelaan mahu kes tersebut didengar di mahkamah lebih tinggi kerana hakim Mahkamah Sesyen mungkin tidak memberi perbicaraan yang adil kepada anak guamnya.
“Beliau mungkin berasa perlu akur dan mengikut dapatan mahkamah lebih tinggi walaupun beliau tidak perlu berbuat demikian,” katanya, merujuk kepada perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib diperintah membela diri terhadap tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang lebih RM42 juta dana SRC International yang dimasukkan ke akaun bank beliau.
Hasnal juga merujuk kes peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri itu dan berjaya dalam permohonan beliau untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi.
Hafarizam, yang sebelum ini mewakili Najib dalam kes sivil, memohon untuk memindahkan kes pengubahan wang beliau ke Mahkamah Tinggi sebelum perbicaraan bermula pada 22 Okt.
Peguam berusia 42 tahun itu dituduh menerima cek berjumlah RM15 juta daripada Najib antara 16 Apr 2014 dan 12 Feb 2015 yang didepositkan ke dalam akaun pelanggan firma guamannya pada masa itu, iaitu Hafarizam Wan Aisha Mubarak.
Wang RM15 juta yang diberikan oleh Najib dikatakan merupakan hasil kegiatan haram.
Jika sabit kesalahan Hafarizam berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali daripada jumlah hasil kegiatan haram terbabit.