
Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata Tabung Amanah Geran Padanan Kerajaan itu akan dianggotai oleh TAA, wakil pelajar TAR UC dan seorang wakil Kementerian Kewangan.
“Adalah dicadangkan tabung amanah ini ditubuhkan oleh TAA secepat mungkin,” katanya.
Lim berkata tabung amanah itu akan mengendalikan dana RM30 juta setiap tahun itu; tanpa penglibatan atau campur tangan kerajaan atau mana-mana parti politik termasuk daripada MCA mahupun Pakatan Harapan.
“Dana RM30 juta akan dibayar mulai 2019 sebaik sahaja tabung amanah ditubuhkan, dan RM30 juta lagi akan dibayar pada tahun hadapan,” katanya.
Lim berkata langkah itu diambil ekoran pihak tertentu mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun kepada TAR UC sekiranya TAR UC menghormati prinsip pengasingan di antara milikan parti politik dan institusi pendidikan.
Sebelum ini, kerajaan mensyaratkan tiada unsur politik dalam milikan TAR UC untuk terus menerima geran padanan kerajaan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun, di mana syarat itu adalah untuk menghormati prinsip peruntukan awam tidak harus diberikan kepada badan perniagaan, NGO dan institusi pendidikan yang dikuasai parti politik.
Lim berkata penyaluran dana daripada tabung amanah itu kepada TAR UC masih boleh berlaku tetapi tertakluk kepada syarat pemimpin MCA melepaskan kuasa milikan, pentadbiran dan jawatan sebagai ahli lembaga pemegang amanah dan ahli lembaga gabenor TAR UC.