
Seorang kanak-kanak Syria yang pada mulanya tidak pandai berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris, kini fasih berbahasa Mandarin dan mendapat keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan Natalie berhijrah ke Malaysia 9 tahun lalu dan belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Imbi di Cheras.
Walaupun gagal mencapai sasaran ditetapkannya, tetapi Natalie berpuas hati dengan keputusan 2A6B.
“Saya paling berpuas hati dengan keputusan subjek bahasa Inggeris kerana saya dapat A bagi pemahaman dan penulisan. Tetapi, saya kecewa kerana bahasa Malaysia saya dapat B, berbanding sasaran A.”
Natalie mengucapkan terima kasih kepada gurunya yang ramah dan sabar mengajarnya sehingga menyebabkan beliau kini mampu menguasai dan fasih berbahasa Cina.
“Hari ini (semalam) saya menangis beberapa kali. Mereka ialah pelajar yang menemani saya lebih 6 tahun, mereka banyak beri galakan kepada saya dalam proses pembelajaran, tidak sampai hati untuk berpisah dengan mereka.
“Terima kasih anda semula, tanpa anda, siapalah saya.”
Ibunya, Izana berkata, beliau dan suaminya menghantar anaknya ke sekolah Cina untuk mempelajari lebih banyak bahasa.
Katanya, tindakan itu terbukti betul dan beliau bangga dengan pencapaian Natalie.
“Guru di SJKC Imbi sangat bagus kerana banyak membantu kami. Dia tidak tahu berbahasa Cina, Malaysia dan Inggeris ketika mula masuk sekolah.
“Sekolah itu bukan saja mengajarnya untuk menimba pengetahuan, mereka turut mendidiknya untuk mempunyai kelakuan dan hobi yang baik.”