
“Saya tidak fikir itu adalah mesyuarat. Mana boleh bagi notis mesyuarat satu hari dan bukan dikeluarkan oleh setiausaha?
“Semalam itu mungkin pandangan sesetengah pihak, tidak menggambarkan keputusan daripada AMK (Pemuda PKR). Kalau lihat semalam pun, yang hadir dari segi exco pimpinan Pusat tak sampai 13 orang…exco pimpinan Pusat terdiri daripada 49 orang, iaitu yang dipilih dan dilantik.
“Keputusan sepatutnya dibuat dalam mesyuarat. Jadi, 49 inilah yang akan tentukan tiap-tiap kali mesyuarat mereka kena hadir, manakala ketua biro hanya hadir memenuhi kuota,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham mengetuai 132 pemimpin bahagian sayap itu dari seluruh negara mengeluarkan kenyataan untuk mengekalkan Azmin sebagai perasmi Kongres Nasional Pemuda dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Dis ini.
Katanya, keputusan ini dibuat kerana ia adalah tradisi parti dan Azmin bersetuju sejak awal lagi untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.
Hari ini, Akmal berkata, mesyuarat jawatankuasa kongres memuktamadkan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan kongres sayap berkenaan atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri.
“Ya, (Wan Azizah akan rasmi), tiada sebarang perubahan. Dalam mesyuarat Biro Politik semalam pun ada ditanyakan dan anggapannya ialah itu keputusan peringkat Majlis Pimpinan AMK.”
Pada 14 Nov lalu, Akmal dilaporkan berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pemuda PKR pada 20 Okt lalu membatalkan jemputan buat Azmin kerana beliau tidak memberi jawapan selepas 6 minggu surat jemputan dihantar.
Azmin bertindak balas dengan menyifatkan wujud tangan ghaib mendorong Akmal membatalkan jemputan itu.
Akmal bagaimanapun menafikan tuduhan Azmin dan mendakwa sikapnya tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.
Seramai 21 ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR turut membantah keputusan sayap itu membatalkan jemputan kepada Azmin merasmikan kongres mereka bulan depan.
Untuk rekod, kongres sayap Pemuda PKR dirasmikan timbalan presidennya sejak 20 tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya MPP dan Biro Politik boleh membuat keputusan berkaitan parti, termasuk perasmi kongres.
“Keputusan tentang parti kena buat dalam mesyuarat parti, tak boleh buat dalam perjumpaan cabang. Itu bukan cara parti bergerak.
“Jadi, platform sebenar adalah mesyuarat MPP dan Biro Politik,” katanya selepas menghadiri satu acara di Cheras, hari ini.
Konvensyen PKR Sarawak
Saifuddin turut menyokong keputusan Biro Politik untuk meneruskan Konvensyen PKR Sarawak di Miri pada Sabtu ini.
“Kita akan teruskan 23 Nov ini seperti mana disusun kerana keputusan untuk mengadakan konvensyen negeri ditentukan dalam mesyuarat MPP dan Biro Politik.
“Semua negeri telah diberikan jadual dan pelaksanaannya mengikut jadual.
“Sekiranya ada pandangan sebaliknya, saluran betul adalah mencadangkan kepada MPP dan Biro Politik, barulah satu keputusan dibuat. Jadi, sehingga proses itu dilakukan, kita akan meneruskan pada 23 Nov ini.”
Semalam, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dilaporkan berkata, barisan kepimpinan negeri tidak akan berganjak daripada keputusan membatalkan konvensyen Sabtu ini.
Katanya, keputusan itu mendapat sokongan majoriti pemimpin negeri yang bersedia dikenakan tindakan disiplin.
Minggu lalu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dalam satu kenyataan membidas Pemuda PKR kerana membatalkan jemputan buat Azmin merasmikan kongres sayap itu bulan depan.
Ia turut memutuskan Konvensyen PKR Sarawak di Miri dibatalkan, selagi isu tersebut tidak diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi.