Saya pengarah tapi tak tahu apa berlaku dalam pertubuhan Zahid, kata saksi

Saya pengarah tapi tak tahu apa berlaku dalam pertubuhan Zahid, kata saksi

Zulkifli Senteri tidak pernah tandatangan apa-apa cek daripada Yayasan Akalbudi.

Zulkifli Senteri berkata diminta Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan pemegang amanah Yayasan Akalbudi.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pemegang amanah di Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada hal ehwal atau kegiatan yayasan itu.

Zulkifli Senteri, seorang bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini naib canselor di sebuah universiti swasta di Selangor, memberitahu perbicaraan rasuah Zahid hari ini bahawa dia juga tidak menandatangani sebarang cek atau dokumen untuk pertubuhan itu walaupun dia seorang penandatangan.

Zulkifli seterusnya berkata beliau tidak tahu sama ada akaun yayasan itu pernah diaudit.

“Saya tandatangan dokumen seperti yang diminta Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk pelantikan saya sebagai pengarah,” katanya, dan menambah dia tidak pernah diberi taklimat mengenai tugas-tugasnya apabila dilantik sebagai pengarah pada 1997.

Beliau berkata pada April 2012, Zahid meminta dia meletakkan jawatan dan dia penuhi permintaan itu.

“Saya tak diberitahu kenapa saya harus letak jawatan tetapi saya terimanya sebagai arahan kerana saya tidak terlibat dalam operasi Yayasan Akalbudi,” katanya.

Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi KL hari ini untuk perbicaraan rasuahnya.

Zahid, bekas timbalan perdana menteri, berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Ia termasuk 12 tuduhan pecah amanah, 8 tuduhan rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang.

Semalam, mahkamah mendengar keterangan daripada seorang lagi bekas pemegang amanah, iaitu Mohd Samsuri Tun, yang mendakwa Zahid mengarahnya menandatangani cek kosong tanpa dimaklumkan tujuan cek itu.

Ditanya peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, Zulkifli nafi dia bertemu Samsuri untuk merancang keterangan saksi mereka.

Zaidi seterusnya menunjukkan keterangan saksi yang ditender Samsuri di mahkamah semalam.

Timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt dan Ahmad Sazilee Abdul Khairi bangun membantah tindakan peguam itu, mengatakan ia boleh memprejudiskan jawapan Zulkiefli.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata skop pemeriktaan balas oleh peguam bela cukup luas untuk mereka bertanya tentang keterangan saksi sebelum ini.

Zaidi kemudian menunjukkan kepada Zulkifli 4 perenggan dalam keterangan Samsuri yang sama dengannya.

Zulkifli berkata keterangan saksinya disediakan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Collin kemudian memberitahu Zaidi bahawa peguam itu harus menghentikan pertanyaan mengenai persamaan dalam kenyataan saksi.

Perbicaran diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpuir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.