Peruntukan tak jelas merujuk kempen rumah ke rumah, peguam negara ulas isu permit

Peruntukan tak jelas merujuk kempen rumah ke rumah, peguam negara ulas isu permit

Tommy Thomas berkata kaedah pintu ke pintu digunakan sejak 1955 tanpa perlu permit.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.
PETALING JAYA:
Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu, kata Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataan hari ini.

“Hakikatnya sejarah membuktikan semenjak 1955, kaedah-kaedah untuk meraih pengundi ini yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari semua parti politik, dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit sedemikian,” kata beliau.

Thomas mengingatkan sebanyak 14 pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil telah diadakan sejak itu, dan aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya penting dalam sistem demokrasi berparlimen.

Penjelasan ini menyusuli kontroversi kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya kelmarin, memaklumkan polis meminta semua pihak bertanding pada pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga suatu bentuk berkempen.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media semalam berkata keperluan permit itu mengikut peruntukan Seksyen 24(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menurut seksyen itu, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.

Permintaan mendapatkan permit untuk kempen rumah ke rumah mengundang bantahan pembangkang, mengatakan kenapa ia timbul semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sedang berjalan.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 juga menggesa SPR menolak peraturan itu, mengatakan Seksyen 24B hanya menetapkan calon perlu meminta permit untuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan yang dalamnya ada ucapan atau syarahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini menolak dakwaan permit rumah ke rumah itu keputusan saat akhir, mengatakan ia dibincangkan pada hari penamaan (2 Nov) antara polis, SPR dan ejen calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.