
Syed Agil Syed Alsagoff dari Universiti Putra Malaysia berkata, desakan 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran memberi laluan kepada bekas penyandang kerusi itu, Tian Chua bertanding semula sebagai tidak wajar.
“Amalan mengosongkan kerusi Parlimen atau DUN untuk beri ruang kepada orang lain boleh menjadi satu amalan yang akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat dan memberikan sentimen negatif kepada amalan demokrasi di negara ini.
“Saya berpandangan tidak wajar sekiranya alasan hanya berasaskan sentimen politik semata-mata,” kata beliau.
Katanya, walaupun seseorang wakil rakyat itu tidak berfungsi atau sebagainya, ia seharusnya dilakukan melalui saluran betul dan tidak bergantung kepada kepentingan politik atau kepartisan.
“Dalam konteks ekonomi, pengosongan kerusi wakil rakyat semata-mata untuk memuaskan atau mencapai matlamat politik adalah pembaziran dan menimbulkan sentimen keraguan dalam kalangan rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini,” katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.
Semalam, 14 NGO mencadangkan Prabakaran mengosongkan kerusi Parlimen Batu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula sambil menyifatkan khidmat bekas wakil rakyat itu amat diperlukan.
Cadangan itu muncul selepas Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lalu memutuskan Tian Chua, juga naib presiden PKR, layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu setelah lebih setahun dilarang mempertahankan kerusi Parlimen Batu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menolak pencalonan Tian Chua atas alasan hilang kelayakan akibat didenda RM2,000 selepas disabitkan bersalah menghina anggota polis lima tahun lalu.
Syed Agil berkata PKR harus memikirkan jalan alternatif yang lebih baik daripada pengosongan kerusi.
“Mengosongkan atau tidak terserah kepada Prabakaran dan pucuk pimpinan PKR untuk tentukan, namun PKR juga harus fikirkan jalan alternatif yang lebih baik untuk atasi masalah ini.
“Tanpa paksaan, seorang wakil rakyat berhak membuat keputusan untuk kekalkan kedudukan atau sebaliknya sebelum PRU berikutnya,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata desakan seumpama itu dilihat agak keterlaluan.
“PRK diadakan kerana kematian atau bankrap kecualilah Tian Chua ini bakal perdana menteri yang termaktub dalam perjanjian seperti Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Port Dickson).
“Jadi saya rasa itu tidak wajar dan tiada keperluan kerana babitkan kos di mana satu PRK libatkan jutaan ringgit, bazirkan masa, tenaga dan wang rakyat. Malah saya lihat agak keterlaluan desakan ini,” katanya.
Tegasnya, kerajaan hari ini perlu fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat kerana terlalu banyak berpolitik akan menyebabkan rakyat letih.
Pada Okt tahun lalu, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson dimenanginya pada PRU14 bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding, dilihat sebagai persiapan ke arah menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyerahkan jawatan sebagai perdana menteri kepada Anwar. namun tiada tarikh pasti dinyatakan.