
Beliau membidas tindakan BN memainkan isu gambarnya memakai baju biru seolah-olah menyokong parti pembangkang dan edaran risalah menyeru sokongon terhadap calon Islam.
“Bagi orang Cina marah tetapi saya tidak ingat orang Cina begitu bodoh ditipu oleh penyangak ini.
“Orang Cina arif dalam bidang pilihan raya,” katanya pada sidang media bersama NGO Parlimen Tanjung Piai.
Semalam PH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang menyebarkan risalah yang menyeru pengundi Tanjung Piai menyokong calon Islam.
Dalam satu kenyataan di Facebook, PH berkata risalah itu yang diedarkan kepada orang ramai pada ceramah perdana malam semalam adalah satu perbuatan yang disengajakan.
Sebelum itu, risalah tersebut diletakkan di setiap kerusi hadirin yang hadir dalam ceramah perdana PH semalam.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata semua kaum menyumbang untuk keperluan negara dan mesti beli produk dari semua kaum.
Beliau berkata tiada jalan untuk memboikot barangan kaum tertentu di Malaysia.
“Pengundi Tanjung Piai tidak bodoh. Mereka sudah lalui 14 kali PRU dan PRK juga sudah dilalui.
“Mereka arif dengan penipuan parti lawan. Kita dapati BN menipu dan orang Tanjung Piai, berhati-hati serta tidak terpedaya dalam perkara itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata walaupun ada isu tertentu pada setipa kaum, namun kerajaan perlu menumpukan keperluan negara.
“Kita cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu kita Malaysia tak boleh layan semua orang.
“Tak ada mungkin layan permintaan semua kaum. Semua bersatu hati menerima kerajaan campuran negara tetap maju,” katanya.
BN main isu perkauman
Mahathir berkata BN yang memainkan sentimen perkauman.
Katanya, seorang wakil rakyat adalah wakil kepada semua kaum.
“Saya bukan perdana menteri orang Melayu sahaja. Saya perdana menteri untuk semua kaum di malaysia,” katanya.
Mahathir juga berkata BN menipu rakyat dengan menggunakan simbol dacing dalam kempem PRK Tanjung Piai, walaupun BN sudah tidak ada.
“Saya hairan dengan parti lawan, dia pakai simbol dacing lagi… Sudah tak ada.
“Mana ada dacing lagi, MCA pun dah setengah mati, MIC pun tak sertai. Umno pun tinggal 1/4 sahaja kekal dalam Umno,” katanya.
Mahathir berkata BN juga menipu dengan mendakwanya masih presiden Umno dan pengerusi gabungan itu.
“Saya bukan presiden Umno. Saya bukan pengerusi BN. Saya adalah perdana menteri kerajaan PH.
“Beritahu semua orang yang masih ingat saya presiden Umno bahawa saya adalah pengerusi PH, dipilih jadi perdana menteri. Sebab itu saya di sini, jangan keliru,” katanya.