
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata penjagaan pelajar kanak-kanak sangat berbeza mengikut kelainan umur dan oleh itu, perkara itu sedang dipertimbangkan demi kebajikan pelajar sendiri.
“Tak ada (had umur pelajar di tahfiz). Maahad tahfiz ini campur budak besar dengan budak kecil. Itu bahaya.
“Tapi saya ingat memang ada keperluan asing pelajar sebab penjagaan untuk pelajar biasa dengan kanak-kanak ini lain,” kata beliau kepada FMT ketika dihubungi, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengulas kes kematian seorang pelajar tahfiz berusia tujuh tahun di Temerloh, menimbulkan persoalan tentang perbezaan usia mangsa dengan pelajar lain yang semuanya berusia 13 tahun.
Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid berkata Muip akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan pengasingan pelajar di pusat tahfiz.
“Jadi saya akan memperhalusi perkara ini di peringkat saya (negeri Pahang) dan saya akan panggil mesyuarat dengan pihak kebajikan, badan-badan berkaitan untuk lihat apa keperluan kelainan penjagaan kanak-kanak dengan remaja.
“Jadi kita mungkin akan buat satu garis panduan, tetapi sekarang ini kalau sebelum daftar kita saring dulu. Cuma isu yang banyak berlaku sekarang ini tidak berdaftar, jadi mereka tak ikut syarat,” katanya.
Beliau juga berkata, sesi pemutihan yang sedang dijalankan akan berakhir hujung tahun ini dan mana-mana pusat tahfiz yang gagal mematuhi syarat akan diperintah tutup.
Mengulas soal perkembangan kes kematian pelajar tujuh tahun di Pahang itu dipercayai dipukul akibat cemburu minggu lalu, beliau berkata, Muip menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.