
“Apabila kita ambil alih kuasa, kita tidak mahu jadi kerajaan yang menggunakan agama dan kaum untuk tujuan politik.
“Sebab itu kami memperjuangkan Islam sebagai agama yang amat progresif dan peranan yang ia boleh mainkan, dan kita bawa satu naratif baru tentang Islam di Malaysia bawah kerajaan baru.
“Apa yang kita kata Islam yang penuh belas kasihan dan kita harap akan mencetuskan perpaduan nasional,” kata beliau ketika ditemu bual pengacara Zeinab Badawi, yang disiarkan BBC malam tadi.
Mujahid berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh “mengulangi kesilapan sama kerajaan dulu” dalam isu-isu Islam.
“Anda perlu satu naratif yang kuat tentang Islam untuk berbuat demikian,” katanya.
Dalam rancangan 30 minit itu, beliau ditanya mengenai tindakan keras pihak berkuasa terhadap pengikut fahaman Syiah Islam di Malaysia serta kenyataannya yang memuji Dr Zakir Naik.
Mujahid nafi beliau menyokong penceramah kontroversi dari India itu, mengatakan beliau berulang kali memberi amaran kepadanya tentang ucapan provokatif.
“Semua kata-kata dan kenyataan itu tidak sesuai di Malaysia, dan saya cakap perkara itu banyak kali. Saya juga beri amaran padanya tentang kedudukannya di Malaysia, dan dia harus lebih waspada kerana Malaysia negara berbilang kaum.”
Pada 13 Mac, Mujahid bertemu Naik dan menulis di Facebooknya mengatakan usaha dakwah penceramah itu membawanya ke seluruh pelusuk dunia dan menjadi “inspirasi” buat orang lain untuk meneruskan kerja-kerja dakwah.
Mujahid mempertahankan kenyataan itu bukan sokongan, dan menambah ia bukan gambaran penuh pendiriannya mengenai Naik.
“Itu tidak bermakna saya bersetuju dengan apa sahaja yang dia lakukan di Malaysia kerana saya ada negara untuk dilindungi…anda boleh periksa kenyataan-kenyataan saya yang lain mengenainya.”
Beliau juga menepis soalan mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap Sisters in Islam, mengatakan ia bukan diambil oleh kerajaan semasa.
“Mereka pihak pertama yang datang dan bertemu saya. Saya undang mereka dan bercakap dengan mereka bagi melihat bagaimana mereka boleh main peranan lebih baik dalam memperjuangkan dan membantu wanita-wanita tertindas.
“Saya tak fikir saya dalam kedudukan sebagai menteri hal ehwal agama sudah mengabaikan kedudukan mereka.”