Kelayakan Piala Dunia/Asia: Harimau Malaya jangan gentar jumpa Gajah Perang

Kelayakan Piala Dunia/Asia: Harimau Malaya jangan gentar jumpa Gajah Perang

Walaupun Thailand dibarisi pemain Liga Eropah dan Jepun, namun ia bukan jaminan untuk catat kemenangan ke atas skuad negara.

Harimau Malaya akan bertemu skuad Gajah Perang dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Skuad kebangsaan Harimau Malaya perlu yakin dan jangan gentar berdepan skuad Gajah Perang yang dibarisi pemain Liga Eropah dan Jepun pada perlawanan keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bekas pemain kebangsaaan Mohd Hashim Mustapha, 53, berkata sungguhpun Thailand dibarisi pemain yang beraksi di Liga Eropah dan Jepun, namun ia bukan tiket untuk mereka dengan mudah menewaskan pasukan kebangsaan.

“Bola sepak ialah perlawanan 11 pemain menentang 11 pemain, oleh itu pemain negara perlu yakin akan kemampuan sendiri dan mempunyai semangat berpasukan untuk mencipta kejutan.

“Begitu juga semangat juang yang tinggi perlu ada dalam diri setiap pemain kerana saya melihat pasukan negara ketika ini berjaya mempamerkan peningkatan dari aspek permainan dan dengan semangat juang yang tinggi saya yakin mereka mampu memberi saingan sengit,” kata Mohd Hashim yang beraksi dalam skuad kebangsaan antara 1984 dan 1986.

Skuad negara ketika ini berada di tangga keempat kumpulan dengan tiga mata manakala Thailand yang dibimbing jurulatih dari Jepun Akira Nishino berada di kedudukan pertama kumpulan dengan kutipan tujuh mata.

Pada saingan Kumpulan G, pasukan kebangsaan diundi bersama tiga pasukan lain iaitu Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

Mohd Hashim berkata pasukan negara juga mempunyai barisan pemain yang berkualiti terutamanya empat naturalisasi yang mampu memberikan sumbangan besar kepada pasukan.

“Kempat-empat pemain itu diharapkan dapat digunakan sepenuhnya malam esok untuk memperkuatkan cabaran kepada pasukan lawan yang mempunyai perubahan taktikal dibawah bimbingan Akira Nishino.

“Jangan sia-siakan peluang menjaringkan gol kerana pasukan memerlukan kemenangan untuk membawa bekalan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Mohd Hashim turut menasihatkan anak buah Tan Cheng Hoe itu supaya berwaspada dengan taktikal yang akan digunakan pasukan lawan.

“Perlu berhati-hati malam esok berikutan pemain pasukan lawan dibarisi oleh pemain berbeza berbanding ketika pasukan Kebangsaan menentang pasukan itu pada perlawanan Piala AFF tahun lalu.

“Jika Piala AFF mereka (Thailand) tidak menyenaraikan skuad terbaik kerana komitmen bersama kelab masing-masing di Eropah dan Jepun namun kali ini mereka membawa pasukan terbaik untuk mencari kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.