
Pengebom bunuh diri itu dilaporkan meninggal dunia selepas meletupkan dirinya dalam kejadian 8.45 pagi waktu Indonesia Barat.
“Kami mengesyaki ini adalah pengebom bunuh diri di mana seorang penyerang terbunuh,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo memetik laporan AFP.
Wartawan AFP di lokasi kejadian melihat satu mayat terbaring di atas tanah di luar ibu pejabat polis itu.
Sumber polis yang tidak mahu dinamakan berkata serangan itu dilakukan sekurang-kurangnya dua pelaku tetapi ia tidak disahkan secara rasmi.
Memetik laporan Bernama, pelaku dilaporkan memakai jaket perkhidmatan pengangkutan dalam talian, bersama ramai lagi orang awam yang lain, memasuki ibu pejabat polis itu seolah-olah mahu melakukan urusan di ibu pejabat polis berkenaan.
Mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Pelaku dinyatakan meninggal dunia dengan tubuh hancur akibat bom bunuh diri, saat ini (polis) sedang laksanakan kawalan keselamatan dan siasatan,” kata laporan itu.
Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit atau menjadi mangsa dalam kejadian itu.