
Setiausaha Eksekutifnya Wan Mohd Zul Ikman berkata ia selaras dengan hasrat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia diurus secara profesional.
“Penubuhan syarikat ini juga akan membantu kelab dalam pelbagai perkara seterusnya memajukan lagi sukan nombor satu ini di negeri Kelantan.
“Kami yakin dengan adanya syarikat ini, ia dapat membantu pasukan menjadi pesaing utama pada Liga- M khususnya Liga Premier musim 2020,” katanya dihubungi Bernama hari ini.
Pada saingan musim 2020 Kelantan United FC (KUFC) melayakkan diri pada saingan Liga Premier selepas muncul juara pada saingan Liga M3 musim ini.
Wan Mohd Zul berkata, pasukan itu bersedia menyelesaikan urusan perlesenan kelab bagi membolehkan mereka beraksi di Liga Premier.
“Kami bersedia menyelesaikan urusan pelesenan dan dalam proses menilai beberapa tawaran penajaan dari syarikat-syarikat dan individu yang berminat.
“Insya-Allah, kami akan berjumpa dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan bagi memenuhi syarat-syarat pelesenan,” katanya.