
Pholachi “Billy” Rakchongcharoen, aktivis hak tanah etnik Karen, yang kali terakhir dilihat ketika dia ditahan pihak berkuasa di Taman Negara Kaeng Krachan di wilayah Petchaburi, selatan ibu kota, Bangkok.
Dua keping serpihan tulang dengan tanda terbakar ditemui di sebuah gudang minyak yang telah hangus, berhampiran empangan Kaeng Krachan pada Mei lalu.
Polis pada Sept lalu berkata DNA tulang yang dipadankan dengan ibu Pholachi, menunjukkan mayat itu adalah miliknya.
Polis Jabatan Siasatan Khas (DSI) memperoleh waran tangkap ke atas empat suspek hari ini, termasuk ketua Taman Negara Kaeng Krachan, menurut satu kenyataan.
Mereka menghadapi tuduhan membunuh yang dirancang dan lima kesalahan jenayah lain, kata kenyataan itu.
Pada masa kehilangannya, Pholachi sedang bekerjasama dengan masyarakat Karen mengenai aduan terhadap pegawai taman negara ekoran pemusnahan dan pembakaran rumah dan ladang keluarga yang tinggal di taman itu, dalam satu siri pengusiran dari hutan.
Karen adalah minoriti etnik yang kebanyakannya hidup dalam komuniti di hutan utara dan barat Thailand, dan di kawasan sempadan negara jiran Myanmar.
Ramai Karen di Thailand tidak mempunyai kerakyatan.
Pholachi ditahan pegawai taman negara pada 17 April 2014 kerana didakwa memiliki sarang madu dari lebah liar.
Pegawai-pegawai taman negara berkata dia dibebaskan selepas disiasat tetapi keluarga Pholachi berkata, dia tidak pernah pulang ke rumah sejak itu.
Kehilangan Pholachi adalah salah satu daripada lebih 80 kehilangan paksa di Thailand sejak 1980, menurut kumpulan hak asasi manusia.