
Negara itu sedang melalui pergolakan politik dan ekonomi susulan protes sejak tiga minggu lalu di seluruh negara, menyebabkan Perdana Menteri Saad al-Hariri meletak jawatan minggu lalu.
“Masa sudah tiba untuk memenuhi tuntutan rakyat dan kehendak bebas nasional melampaui mazhab, parti politik, dan wilayah,” kata Mufti Besar Sheikh Abdul Latif Derian dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen sempena sambutan Maulidur Rasul.
“Masa sudah tiba dan ia sangat sesuai, selepas panggilan kebangsaan ini, untuk proses pembaharuan bermula dan bagi mereka yang berkuasa membentuk kerajaan darurat yang terdiri daripada orang berwibawa, tanpa sebarang kelewatan,” kata beliau.
“Sudah tiba masa untuk segera melaksanakan pakej pembaharuan disediakan oleh Perdana Menteri Hariri bagi menyelesaikan masalah negara,” katanya.
Pihak berkuasa agama Kristian terkemuka Lubnan, Maronite Patriarch Bechara Boutros Al-Rai juga ada meminta perubahan dalam kerajaan untuk memasukkan teknokrat berkelayakan.
Sebelum meletakkan jawatan, Hariri bersetuju diadakan pembaharuan dengan rakan-rakan dalam kerajaan campuran, bertujuan meringankan krisis ekonomi yang mencetuskan protes yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap golongan elit pemerintah.
Rancangan itu termasuk pengurangan 50% gaji pegawai semasa dan bekas pegawai serta sumbangan AS$3.3 bilion (RM13.2 bilion) daripada bank untuk mencapai “defisit sifar hampir” bagi belanjawan 2020.
Bagaimanapun ahli politik Lubnan belum membuat kemajuan ke arah menyetujui kerajaan baru untuk menggantikan kerajaan yang telah jatuh.
Sistem perkongsian kuasa negara itu berdasarkan kepada 18 mazhab agama yang diiktiraf dan ia diamalkan sejak era kolonial Perancis. Ia memperuntukkan jawatan bagi setiap komuniti, membentuk asas parti politik dan mewujudkan keseimbangan antara Kristian, Sunni dan Syiah dan kumpulan lain.