
Portal Sistem Maklumat Pendidikan Islam atau Simpeni menyediakan fungsi Carian Sekolah, statistik bilangan sekolah mengikut jenis serta bilangan pelajar, takwim dan pekeliling pada halaman utama.
Menerusi Carian Sekolah, ibu bapa boleh membuat semakan mengikut kategori iaitu semua sekolah agama, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta dan sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), mengikut negeri dan daerah.
Menerusi statistik pula, FMT mendapati terdapat sebanyak 3,874 sekolah agama berdaftar pelbagai peringkat di seluruh negara, termasuk 1,586 peringkat rendah, 794 peringkat tadika dan 704 peringkat tahfiz.
Ia turut menyediakan dokumen agihan peruntukan khas kerajaan persekutuan bagi institusi pondok, tahfiz, sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat, dan sekolah agama swasta berdaftar untuk bacaan pengunjung di halaman Info Edaran.
Bahagian Pengumuman dan Penerbitan bagaimanapun tidak memaparkan maklumat terkini, sementara Soalan Lazim pula tidak memaparkan sebarang soalan dan jawapan.
Sehingga kini laman itu telah dikunjungi lebih tiga juta pengunjung.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penguatkuasaan dan pengawasan operasi pusat tahfiz di negara ini perlu ditangani secara holistik kerana ia melibatkan pelbagai pihak.
Beliau berkata, undang-undang berkaitan perlu diperketatkan, termasuk pendaftaran pusat tahfiz serta peranan ibu bapa untuk mengenal pasti tahfiz yang dipilih untuk anak mereka adalah berdaftar.
Ia susulan kejadian kematian Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, Khamis lalu, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya.
Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.
Tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian pelajar itu direman sehingga sehingga Khamis ini.
Dalam kenyataan kepada FMT semalam, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Abdul Halim Tamuri berkata setiap pusat tahfiz harus didaftarkan dengan agensi kerajaan, sama ada peringkat negeri atau persekutuan, bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa, sekali gus menjamin kebajikan pihak berkepentingan.
Kata beliau, pihak berkuasa perlu membimbing mereka supaya setiap pusat tahfiz dapat memenuhi kriteria ditetapkan.
Mengulas isu yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof meminta ibu bapa untuk lebih prihatin dalam memilih pusat tahfiz agar anak mereka tidak menjadi mangsa kejadian yang tidak diingini.
Beliau berkata ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memastikan pusat tahfiz yang dipilih adalah berdaftar dan ia merupakan perkara paling utama yang perlu difikirkan.
“Pendaftaran sangat penting, ibu bapa yang hantar anak-anak perlu prihatin. Tindakan drastik yang utama perlu dilakukan ialah kesedaran ibu bapa. Bila berdaftar (pusat tahfiz), kita ada kawalan terhadap pusat itu, boleh tahu apa yang diajar, tahu siapa tenaga pengajar dan boleh tahu bagaimana dia kendalikan tahfiz itu.
“Itu pilihan ibu bapa. Tapi pilihan yang macam mana, adakah sekadar tempat buangan kemudian tinggalkan… akhirnya tahfiz tidak menjadi institusi yang dihormati,” kata beliau.
Beliau berkata tidak semua tahfiz mempunyai rekod yang buruk dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal kebajikan, keselamatan dan ko-kurikulum yang disediakan tahfiz.