
Menteri Besarnya, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan itu bukan sahaja akan membincangkan isu penderaan dalam kalangan pelajar institusi tahfiz, malah akan turut menyentuh aspek keselamatan dan kesihatan pelajar.
“Setakat ini memang belum berlaku perkara sedemikian (penderaan dan buli) di Terengganu cuma melalui jawatankuasa pendidikan kita akan tengok apa yang perlu dibuat oleh pihak kerajaan (kerajaan negeri) terutama membentuk jawatankuasa untuk pertemuan secara bersama dengan ketua-ketua atau mudir-mudir tahfiz ini.
“Walaupun (institusi tahfiz) tidak berada di bawah kerajaan negeri secara langsung, dari segi tanggungjawab, kita (kerajaan negeri) rasa kita berperanan untuk memastikan aspek-aspek ini terjaga,” katanya, lapor Bernama.
Ketika ditanya jumlah institusi tahfiz yang belum berdaftar di Terengganu, Ahmad Samsuri berkata masih terdapat sebilangan kecil yang masih belum berbuat demikian.
“Tetapi respons yang kita dapat mereka positif untuk daftar mana-mana yang belum lagi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengoperasian pusat tahfiz haram di Terengganu ekoran insiden seorang pelajar pusat tahfiz yang tidak berdaftar, meninggal dunia dipercayai dipukul di Kampung Kuala Kaung, Lanchang di Temerloh, Pahang pada Khamis lalu.
Melaka pantau operasi pusat tahfiz
Mengulas isu yang sama, kerajaan negeri Melaka menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) giat memantau operasi semua pusat tahfiz di negeri itu sama ada yang berdaftar atau tidak bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan peraturan atau dengan enakmen kerajaan negeri sedia ada.
Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata pemantauan itu melibatkan pelbagai aspek antaranya keselamatan premis dan pelajar serta silibus pelajaran yang diguna pakai di pusat tahfiz terlibat selain tidak mempunyai pengaruh yang meragukan dan mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, setakat ini hanya 110 pusat tahfiz berdaftar di negeri itu manakala 11 institusi lagi belum berdaftar dan satu pusat tahfiz telah dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jika dilihat kita masih menggunakan budi bicara untuk pastikan pusat tahfiz yang tidak berdaftar ini segera berdaftar di bawah JAIM agar penambahbaikan dapat dilakukan sekali gus membantu kerajaan negeri dan swasta membangunkan institusi tahfiz di negeri ini.
“Macam kes yang dilaporkan media baru-baru ini berkaitan pusat tahfiz yang meraih RM1.8 juta sebulan di Sebatu, Jasin, RoS telah membatalkan pendaftarannya kerana ia bercanggah dengan beberapa perkara di peringkat negeri,” kata beliau dipetik Bernama.