Guan Eng bidas Tuan Ibrahim ‘tidak beretika’ isu hak orang bukan Islam

Guan Eng bidas Tuan Ibrahim ‘tidak beretika’ isu hak orang bukan Islam

Adakah PAS dan Tuan Ibrahim akan bertindak terhadap mereka yang menyeru dasar yang akan menamatkan hak orang bukan Islam dan bukan Melayu, kata setiausaha agung DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas PAS, Umno dan MCA mengenai kenyataan yang mempersoalkan hak orang bukan Melayu dan orang bukan Islam.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini digambarkan sebagai ahli politik yang tidak jujur dan tidak beretika oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang menuduh Tuan Ibrahim dan partinya menyeru dasar-dasar yang akan menamatkan hak-hak orang bukan Islam dan rakyat Malaysia bukan Melayu.

Bercakap di Konvensyen DAP Selangor hari ini, Lim berkata Tuan Ibrahim menafikan pemimpin PAS dan Umno membuat seruan seperti itu yang memberi kesan pada hak orang bukan Melayu atau bukan Islam memegang jawatan Kabinet; pengajaran bahasa ibunda di sekolah-sekolah vernakular; mendakwa Kementerian Kewangan mengambil alih Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); dan menyeru boikot produk dan perniagaan orang bukan Islam.

“Ternyata, Tuan Ibrahim berbohong dan seorang ahli politik yang tidak jujur dan tidak beretika,” kata Lim.

“Adakah PAS dan Tuan Ibrahim akan bertindak terhadap pemimpin Umno dan PAS yang menyeru dasar-dasar yang akan mengakibatkan pemadaman hak asasi orang bukan Islam dan bukan Melayu, seperti yang dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan?”

Beliau berkata antara mereka yang membuat seruan seperti itu termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan, dan bekas Timbalan Presiden Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang Ismail Sabri.

Lim juga membidas MCA kerana menerima perikatan politik Umno-PAS pada pilihan raya kecil Tanjung Piai minggu depan, walaupun kedua-dua parti itu tidak menarik balik atau memohon maaf atas kenyataan yang memberi kesan pada hak orang bukan Islam dan bukan Melayu.

Lim berkata Umno dan PAS pernah mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan boneka DAP. “Sebaliknya, kepada masyarakat Cina, MCA mendakwa DAP boneka Mahathir,” katanya.

Lim juga bercakap mengenai keputusan kerajaan persekutuan menahan geran tahunan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman milik MCA.

Beliau menuduh MCA menggunakan kawalannya ke atas media Inggeris dan Cina untuk mendakwa DAP gagal menunaikan janji memperuntukkan RM30 juta kepada kolej itu walaupun kerajaan menyatakan peruntukan akan diberi apabila MCA melepaskan kawalan ke atas kolej itu kepada alumni KTAR dan masyarakat Cina.

Lim berkata perdana menteri menyokong syarat itu secara bertulis.

“Dalam erti kata lain, RM60 juta bagi tahun ini dan tahun depan tersedia, dan selagi PH kekal berkuasa, setiap tahun sekurang-kurangnya RM30 juta menunggu untuk diambil KTAR, jika MCA serah kawalan.”

Lim berkata pendidikan dan parti-parti politik harus dipisahkan, bagi memastikan standard pendidikan tidak dikorbankan untuk kepentingan politik.

Beliau memberi amaran kemenangan MCA di Tanjung Piai mungkin membawa kepada bkan sahaja sokongan kepada falsafah rasis dan ekstremis PAS dan Umno tetapi juga memperhebatkan cubaan untuk menubuhkan kerajaan baru melalui “pintu belakang” pembelotan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.