
Beliau berkata, undang-undang berkaitan perlu diperketatkan, termasuk pendaftaran pusat tahfiz serta peranan ibu bapa untuk mengenal pasti tahfiz yang dipilih untuk anak mereka adalah berdaftar.
“Kami akan melihat bagaimana kami dapat menanganinya secara holistik. Pengawasan ini akan dilihat secara keseluruhannya kerana ia melibatkan penguatkuasaan yang berlainan.
“Pemantauan ini mesti kita tingkatkan. Bukan sahaja pihak berkuasa tetapi mereka yang di sekeliling yang nak hantar anak ke tahfiz mestilah sekurang-kurangnya ‘check’ dulu boleh ke tak boleh, elok atau tidak (pusat tahfiz yang dipilih), adakah ia berdaftar supaya kita boleh menangani secara berkesan,” kata beliau, lapor Bernama.
Dalam kejadian Khamis lepas, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya. Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.
Tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian pelajar itu direman sehingga sehingga Khamis ini.
Laporan bedah siasat
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata laporan mengenai hasil bedah siasat akan diketahui dalam waktu terdekat.
Dalam kenyataan kepada FMT hari ini, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Abdul Halim Tamuri berkata setiap pusat tahfiz harus didaftarkan dengan agensi kerajaan, sama ada peringkat negeri atau persekutuan, bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa, sekali gus menjamin kebajikan pihak berkepentingan.
Kata beliau, pihak berkuasa perlu membimbing mereka supaya setiap pusat tahfiz dapat memenuhi kriteria ditetapkan.
“Saya memang cadangkan supaya semua sekolah tahfiz ini berdaftar supaya kita boleh sama-sama bantu mereka dari segi latihan guru, sokongan, kaunseling dan sebagainya.
“Kita juga boleh tahu di mana lokasinya, jelas ke, mana bantuan diberi, malah boleh pantau bantuan itu digunakan untuk apa. Tujuan daftar ini supaya tidak berlaku benda-benda yang tidak diingini.
“Pendaftaran perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dalam proses itu, pihak berkuasa perlu bantu bagaimana nak melengkapkan pendaftaran supaya mereka boleh berdaftar,” kata beliau, yang juga ahli Yayasan Pendidikan Islam Selangor.
Mengulas isu yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof meminta ibu bapa untuk lebih prihatin dalam memilih pusat tahfiz agar anak mereka tidak menjadi mangsa kejadian yang tidak diingini.
Beliau berkata ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memastikan pusat tahfiz yang dipilih adalah berdaftar dan ia merupakan perkara paling utama yang perlu difikirkan.
“Pendaftaran sangat penting, ibu bapa yang hantar anak-anak perlu prihatin. Tindakan drastik yang utama perlu dilakukan ialah kesedaran ibu bapa. Bila berdaftar (pusat tahfiz), kita ada kawalan terhadap pusat itu, boleh tahu apa yang diajar, tahu siapa tenaga pengajar dan boleh tahu bagaimana dia kendalikan tahfiz itu.
“Itu pilihan ibu bapa. Tapi pilihan yang macam mana, adakah sekadar tempat buangan kemudian tinggalkan… akhirnya tahfiz tidak menjadi institusi yang dihormati,” kata beliau.
Beliau berkata tidak semua tahfiz mempunyai rekod yang buruk dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal kebajikan, keselamatan dan ko-kurikulum yang disediakan tahfiz.
“Kita ada model-model tahfiz yang bagus,” katanya.