
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal berkata cadangan itu susulan kes kematian seorang kanak-kanak, Mohammad Aimin Nurul Amin, di Pahang yang merupakan satu lagi tragedi melibatkan pelajar sekolah tahfiz.
“Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada keganasan dan penderaan. Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama juga bertanggungjawab untuk memastikan tiada kanak-kanak didera di sekolah dan di mana-mana institusi pendidikan kerana ia seharusnya menjadi ruang yang selamat di mana hak kanak-kanak dilindungi dan dihormati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Aziah berkata sekiranya didaftarkan, sekolah tahfiz atau mana-mana sekolah lain boleh dipantau melalui peraturan bukan sahaja dari segi kualiti pendidikan malah dari segi keselamatan.
Katanya, pemantauan sekolah agama bukanlah sesuatu yang baru kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pun berdaftar bawah Kementerian Pendidikan.
“Pesuruhjaya Kanak-kanak bersetuju dengan seruan menteri pendidikan pada awal tahun ini agar semua sekolah tahfiz di seluruh negara didaftarkan bawah Kementerian Pendidikan memandangkan dalam masa yang sama, 4,000 sekolah agama berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan anggaran 200 lagi yang belum berdaftar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menekankan semua sekolah tidak kira sekolah agama atau sebaliknya, perlu berdaftar dengan kerajaan kerana pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 13 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.