
Beliau yang juga menteri pendidikan berkata PH sedang berusaha untuk membuktikan pentadbiran yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).
“Dalam keadaan kurang dua tahun, banyak perkara baik yang telah kita (PH) lakukan. Jadi, tidak adil untuk menghukum kita,” katanya ketika ditemui selepas dialog bersama komuniti Cina hari ini.
Beliau ditanya mengenai ketidakyakinan pengundi Cina di Parlimen Tanjung Piai terhadap pentadbiran PH.
Sebelum ini, pengundi Cina di Pekan Nenas yang ditemui FMT akui berbelah bahagi antara PH dan pembangkang pada pilihan raya kecil kali ini.
Rata-rata mereka tidak menolak kemungkinan 50% pengundi Cina akan lari kepada pembangkang.
Maszlee berkata BN memerintah selama 60 tahun tetapi terbukti mereka tidak boleh lakukan yang terbaik, dan menyeru rakyat memberi peluang kepada PH.
Beliau berkata gabungan itu akan memastikan pemerintahan lima tahun ini akan jauh lebih baik daripada pentadbiran BN.
“Kerajaan PH pula ada perdana menteri dan menteri-menteri yang bersih dan begitu komited.
“Adakah kita ingin menghukum orang yang ingin membawa Malaysia menjadi negara bersih atau kita ingin ambil orang yang dah terbukti melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Seramai 20 orang dari komuniti Cina menyertai dialog bersama Maszlee di Kukup hari ini.