
Bercakap pada Forum Ekonomi Belia hari ini, Anwar menegaskan rakyat perlu pupuk nilai empati dan belas kasihan bagi mengatasi isu seperti kemiskinan bandar tanpa mengira kumpulan etnik.
“Ini mesti jadi naratif baru. Ia bukan mengenai Melayu lawan Cina. Majoriti orang miskin berketurunan Melayu, beberapa orang India di sektor perladangan, dan sebahagian orang Cina tetapi mereka semua ahli keluarga Malaysia, dan mereka di Sabah dan Sarawak.
“Kalau kamu tidak tunjukkan keprihatinan, kepedulian atau belas kasihan, jangan cakap mengenai bangsa, jangan cakap mengenai agama, jangan cakap mengenai kemakmuran bersama,” katanya.
Anwar berkata jika golongan muda hari ini menunjukkan usaha itu, negara akan menyaksikan generasi baru yang membawa nilai-nilai itu.
Beliau berharap golongan muda akan membawa naratif itu dan menangani isu kemiskinan yang mendesak, mengatakan generasinya gagal berbuat demikian.
“Saya ada jangkaan dan harapan yang besar daripada perbincangan seperti ini bahawa kamu akan membawa perubahan yang kami, generasi tua, tidak berjaya lakukan.
“Ikatan persaudaraan antara pelajar pada 1960-an jauh lebih baik daripada sekarang. Walaupun begitu, ia mencerminkan kegagalan tadbir urus.
“Kami terlalu sibuk dengan pemimpin yang mengumpul kekayaan dan membantu kroni-kroni mereka daripada membantu rakyat,” katanya.