ERC kaji pinda undang-undang berkaitan umum dana, projek semasa pilihan raya kecil

ERC kaji pinda undang-undang berkaitan umum dana, projek semasa pilihan raya kecil

Pengerusi ERC, Ab Rashid Ab Rahman berkata pihaknya sedang mengkaji untuk memperkasakan undang-undang sedia ada supaya semua pihak jelas perkara yang tidak sepatutnya dilakukan semasa pilihan raya kecil.

Pengerusi ERC, Ab Rashid Ab Rahman berkata pengumuman mengenai peruntukan dan projek semasa pilihan raya terutama pilihan raya kecil sedang dikaji.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang mengkaji untuk menyediakan peruntukan lebih jelas mengenai etika pengumuman projek dan peruntukan semasa pilihan raya kecil, yang kini menjadi satu kontroversi di Tanjung Piai.

Merujuk kepada dakwaan pengumuman peruntukan membabitkan menteri-menteri dari pihak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tetapi ditegaskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai “kebetulan”, Pengerusi ERC, Ab Rashid Ab Rahman berkata, perkara itu adalah antara aspek yang sedang diteliti oleh pihaknya.

“ERC ada terima cadangan dan syor mengenai perkara ini. Kami sedang mengkaji untuk memperkasakan undang-undang sedia ada supaya semua pihak jelas perkara yang tidak sepatutnya dilakukan semasa pilihan raya kecil,” kata beliau.

Ab Rashid, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ada perkara yang tidak boleh dilakukan semasa pilihan raya.

“Perkara ini ada dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya. Sudah sampai masa ia dilihat dan disemak semula,” kata beliau.

Perkara seumpama itu turut menjadi perhatian semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Rantau awal tahun ini. Pilihan raya kecil Tanjung Piai merupakan pilihan raya kecil kesembilan sejak Mei 2018 iaitu selepas perubahan julung kali kerajaan peringkat pusat.

Pemberian bantuan khas kepada nelayan di kawasan Tanjung Piai, yang diumumkan oleh menteri besar Johor juga menjadi isu sejak dua hari lalu.
Awal minggu ini, SPR dalam kenyataan dikeluarkan meminta semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Tanjung Piai mengingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang bermula selepas perisytiharan calon oleh pegawai pengurus pada 2 Nov 2019 sehingga jam 11.59 malam, 15 Nov 2019.

SPR mengingatkan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang secara rasuah yang boleh mempengaruhi pengundi untuk memberikan atau tidak memberikan undi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Suruhanjaya itu juga berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi
memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Dalam pada itu, Ab Rashid juga berkata ERC sedang mengkaji untuk mengadakan peruntukan khas bagi membolehkan ada wakil yang mewakili kumpulan minoriti seperti Orang Asli di Parlimen.

“Peruntukan yang dicadangkan termasuk mewujudkan kerusi bagi kumpulan minoriti. Kemungkinan kita boleh mewujudkan dua, tiga kerusi tambahan di Dewan Rakyat, misalnya, mereka tidak tanding, tetapi kita lantik mereka ke Dewan Rakyat.

“Perkara ini sedang dipertimbangkan. Orang Asli, bilangan mereka kecil, jadi syor ini dikemukakan untuk mengadakan perwakilan di Parlimen,” kata beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.