Putrajaya rancang hantar pemimpin pembangkang Kemboja ke negara ketiga

Putrajaya rancang hantar pemimpin pembangkang Kemboja ke negara ketiga

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah sebelum ini mengakui menerima permintaan kerajaan Kemboja agar Sochua dihantar pulang ke negara itu.

Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak akan mencampuri hal ehwal negara lain.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Malaysia sedang mencari negara ketiga untuk menempatkan pemimpin pembangkang Kemboja Mu Sochua yang kini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami kini cuba mencari mana-mana negara yang boleh menerimanya,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat mengenai pencapaian kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Mahathir berkata, Malaysia tidak mahu bertelagah dengan mana-mana kerajaan lain kerana ia bukan merupakan urusan Malaysia.

“Ini urusan mereka,” katanya.

Putrajaya sebelum ini berkata, Sochua yang merupakan naib presiden Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) tidak semestinya dihantar kembali ke negara asalnya seperti yang diminta oleh kerajaan Kemboja.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah ketika ditemui di Parlimen mengakui menerima permintaan daripada kerajaan Kemboja agar Sochua dihantar pulang ke negara itu.

Saifuddin berkata, penahanan Sochua dibuat hanya untuk mengambil keterangan beliau, bukan atas permintaan kerajaan Kemboja.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, kerajaan bertindak sedemikian bagi menjauhkan diri daripada mencampuri kemelut negara lain.

“Kami tidak mengganggu hal ehwal negara lain,” katanya, selain menambah bahawa ia merupakan sebahagian daripada prinsip yang diamalkan dalam kalangan negara negara Asean.

“Kita tidak mahu mereka menggunakan Malaysia sebagai pangkalan perjuangan mereka di negara lain.”

Media melaporkan Kemboja menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Hun Sen.

Berikutan itu puluhan aktivis pembangkang melarikan diri dari Kemboja kerana bimbang ditangkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.