
Kata Mahathir, beliau tidak berada pada kedudukan untuk memecat mana-mana individu walaupun pelbagai pihak menasihati dan meminta beliau berbuat demikian.
“Kadang-kadang orang buat salah. Tapi kita ada ‘rule of law’ (pemerintahan mengikut undang-undang).
“Kita ikut peruntukan undang-undang. Saya tak pecat orang,” katanya pada satu sidang media di Perdana Putra di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob yang memintanya menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Tommy.
Terdahulu hari ini di Parlimen, Ismail menggesa Mahathir menasihati Agong supaya memecat Tommy kerana didakwa campur tangan dalam kes pendakwaan dua Ahli Dewan Undangan (Adun) daripada DAP kerana terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Semalam Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE terhadap Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.
Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman beliau.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Okt lepas.
Beliau yang tidak hadir ke mahkamah diwakili empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga ahli Parlimen Jelutong.
Gunasekaran yang juga timbalan pengerusi DAP Negeri Sembilan sebelum ini dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Okt kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Okt lepas, atas pertuduhan tambahan.
Sementara itu, Rayer ketika ditemui pemberita berterima kasih kepada pihak pendakwa atas langkah yang diambil.
“Kami dimaklumkan pagi ini (semalam) selepas tuduhan difailkan, mereka (pendakwa) membuat keputusan untuk menarik balik dua tuduhan. Tiada sebab diberikan,” katanya.
Beliau juga berharap langkah yang sama akan diambil oleh pihak pendakwaan di mahkamah lain.